Bayi Maut Terjatuh Dari Jeriji Tingkap Rumah Pengasuh

KUALA KANGSAR – Seorang bayi lelaki maut selepas terjatuh dari jeriji tingkap di rumah pengasuhnya di Taman Kuala Kangsar di sini, pada Jumaat.

Mangsa, Muhammad Aidil Amsyar Muhammad Hafizuddin, 18 bulan, disahkan meninggal dunia pada jam 9.40 pagi ketika menerima rawatan di Wad Kecemasan, Hospital Kuala Kangsar.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Razali Ibrahim berkata siasatan awal mendapati mangsa dijaga pengasuhnya yang berusia 24 tahun sejak 1 April lalu.

“Semalam, ibunya berusia 25 tahun telah menghantar bayinya pada jam 7 pagi dalam keadaan baik sebelum dimaklumkan kejadian itu oleh ibu pengasuh yang datang ke tempat kerjanya, dua jam kemudian.

“Suspek beritahu mangsa terjatuh selepas panjat jeriji tingkap dalam bilik dan bertindak membawa mangsa ke hospital selepas dia tidak sedarkan diri,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

Menurutnya, ketika kejadian, hanya suspek dan anaknya berusia 12 bulan berada di dalam rumah terbabit.

“Doktor telah memberi rawatan bantuan pernafasan Resusitasi Kardiopulmonari (CPR) dan memasukkan oksigen selama sejam bermula jam 8.40 pagi tetapi tiada tindak balas.

“Hasil siasatan di tempat kejadian mendapati tiada sebarang kesan yang menjurus berlakunya jenayah. Selain itu, dalam tempoh di bawah jagaan suspek, tiada kesan kecederaan fizikal pada tubuh mangsa,” katanya.

Razali berkata, hasil bedah siasat juga mendapati tiada unsur jenayah dalam kes kematian mangsa.

“Punca kematian merupakan dari masalah pada organ dalaman iaitu pankreas.

“Jantung mangsa juga tidak kelihatan normal kerana sedikit besar, tidak seperti kanak-kanak seusia dengannya,” katanya.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 iaitu berlaku kecuaian kepada kanak-kanak. – Astro Awani

Loading...