Bayi 1 Hari Mangsa Termuda Dijangkiti Koronavirus

WUHAN – Seorang bayi di Wuhan dilaporkan positif koronavirus selepas 30 jam dilahirkan, sekali gus menjadikan mangsa termuda yang direkodkan dijangkiti wabak tersebut.

Bayi itu dilahirkan pada 2 Februari lalu dengan berat 3.25 kilogram (kg).

Menurut laporan media tempatan CCTV, bayi yang dijangkiti itu tidak demam atau batuk tetapi mengalami sesak nafas.

Imbasan X-ray pada dada bayi berkenaan menunjukkan tanda jangkitan dan ketaknormalan fungsi hati.

Bagaimanapun, bayi itu kini berada dalam keadaan stabil dan di bawah pemantauan.

Difahamkan, ibu bayi berkenaan disahkan positif koronavirus sebelum melahirkan anaknya.

Menurut pakar di Jabatan Neonatal di Hospital Kanak-Kanak Wuhan, Dr. Zeng Lingkong, bayi itu berkemungkinan dijangkiti virus tersebut ketika berada di dalam kandungan ibunya.

“Si ibu mungkin menjadi ‘laluan’ kepada anak untuk pemindahan (wabak) koronavirus,” katanya. – Agensi

Loading...