Bayaran Tanpa Tunai Di Bazar Ramadan Disambut Baik

KUALA LUMPUR – Para peniaga dan pengunjung bazar Ramadan Kampung Baru di sini menyambut baik konsep pembayaran tanpa tunai yang diamalkan bazar itu dan menyifatkannya sebagai lebih selamat, mudah dan menjimatkan masa.

Peniaga, Masnor Salehudin berkata, konsep pembelian dengan menggunakan kad Touch ‘n Go eWallet itu mampu mengelakkan kes samun dan kecurian kerana tidak melibatkan penggunaan wang tunai.

“Malah ia mampu mempercepatkan dan memudahkan aktiviti jual beli kerana pelanggan hanya perlu menyentuh kad Touch ‘n Go eWallet pada mesin pengimbas,” katanya.

Konsep tanpa tunai itu juga membantu masalah ketiadaan duit kecil baik bagi pelanggan mahu pun penjual.

Konsep Bazar Ramadan Tanpa Tunai di Kampung Baru ini adalah insiatif TNG Digital Sdn. Bhd. dalam menggalakan pengunaan Touch ‘n Go eWallet.

Pelanggan yang menggunakan dompet elektronik tersebut hanya perlu mengimbas kod QR peniaga apabila membeli juadah.

Bagi pelanggan, Syafida Azman, beliau amat mengalu-alukan pelaksanaan konsep pembelian tanpa wang tunai.

“Saya memang tidak suka membawa wang tunai apabila keluar rumah. Dengan e-wallet semua orang tidak perlu berfikir tentang ada duit atau tidak ada duit semasa keluar,” katanya.

Beliau berkata, kad tersebut boleh ditambah nilai secara automatik dan memudahkan.

Melalui Touch ‘n Go eWallet, pengguna hanya perlu muat turun aplikasi tersebut, tambah nilai dan mengimbas kod QR untuk membuat pembelian secara tanpa tunai

Sebanyak 400 peniaga di bazar Ramadan Kampung Baru menyediakan perkhidmatan itu di sepanjang bulan Ramadan sehingga 31 Mei ini.

Loading...