SHAH ALAM – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mendakwa pembatalan pakej projek Transit Aliran Massa (MRT2) yang dianugerahkan kepada gabungan Gamuda dan MMC Corp (Gamuda-MMC) menyebabkan 20,000 pekerja dan 600 lagi syarikat tempatan akan hilang punca pendapatan.

Katanya, beliau kecewa dengan keputusan pembatalan yang dibuat Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Menurutnya, projek tersebut dianugerahkan kepada mereka secara tender terbuka antarabangsa pada tahun 2016 dan pakej itu telah siap kira-kira 40 peratus.

“Selain Gamuda-MMC, empat lagi syarikat telah disenarai pendek untuk tender ini, iaitu China Railway Group (CREC) dan China Communications Construction Co (CCCC) dari China, Taisei Corp dari Jepun, dan Hyundai Engineering dari Korea Selatan.

“Akhirnya Gamuda-MMC menang dengan bidaan yang terbaik dari segi teknikal dan dengan harga yang paling rendah,” katanya menerusi hantaran di Facebook miliknya, semalam.

Mengulas lanjut, Najib berkata, tidak banyak syarikat tempatan mempunyai kepakaran dalam kerja membina terowong bawah tanah dan memiliki kelengkapan seperti Tunnel Boring Machine (TBM) dengan harga yang sangat mahal.

“Keperluan adalah amat tinggi bagi pakar kejuruteraan dalam mengendali kerja-kerja menggali terowong di Lembah Klang yang padat penduduknya.

“Jika kos dikurangkan dan spesifikasi dicantas, akan wujud risiko dan kesan bahaya. Siapa akan bertanggungjawab jika berlaku bencana nanti?” soalnya.

Menurutnya lagi, Gamuda-MMC merupakan satu-satunya syarikat di Malaysia memilik kepakaran dan telah terbukti melalui projek terowong SMART dan MRT1.

“Ini dibuktikan dengan dprojek MRT1 ini telah disempurnakan di bawah bajet dan lebih awal dari tempoh yang ditetapkan.

“Jika ditender semula, kemungkinan besar ialah syarikat luar negara akan memenangi projek ini. Mereka mungkin membawa masuk lebih banyak pekerja asing berbanding dengan Gamuda-MMC yang banyak menggunakan tenaga kerja anak tempatan,” katanya.

Tambahnya, pembukaan MRT2 juga akan dilewatkan kerana proses tender semula bukan proses yang boleh selesai dengan cepat.

“Pemegang Saham terbesar Gamuda ialah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dikuti oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB) (ASN/ASB), Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) dan Tabung Haji.

“PNB, KWSP, Tabung Haji, KWAP dan MMC pula adalah pemegang-pemegang saham antara yang terbesar dalam MMC Corp,” katanya.

Ujarnya, harga saham MMC jatuh 16 peratus manakala harga saham Gamuda susut 25 peratus semalam.

“Harga saham Gamuda sudah jatuh lebih dari 50 peratus berbanding dengan paras harganya sebelum PRU14.

“Nampaknya janji PH sebelum PRU14 untuk mewujudkan 1 juta peluang pekerjaan dengan gaji minima RM2,500 sebulan untuk rakyat Malaysia telah salah ditulis. Mungkin, maksud mereka sebenar ialah mahu memusnahkan 1juta pekerjaan?” katanya. – Sinar Harian Online

Loading...