Batal Kebenaran Operasi Syarikat Langgar SOP PKP

PUTRAJAYA – Syarikat yang gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan berdepan dengan tindakan pembatalan kebenaran beroperasi serta-merta selain dikenakan tindakan undang-undang jenayah.

Menteri Kanan yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, perbuatan syarikat melanggar SOP sepanjang PKP adalah satu kesalahan jenayah.

“Ketidakpatuhan SOP ini adalah satu kesalahan jenayah bawah Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No. 3) 2020.

MATI PUCUK? DAPAT RAWATAN SEGERA… KLIK

“Kegagalan syarikat mematuhi SOP ini akan menyebabkan kebenaran beroperasi dibatalkan serta-merta dan berdepan tindakan undang-undang mengikut akta semasa,” katanya pada sidang media khas di sini hari ini.

Beliau berkata, setakat ini kementeriannya sudah membatalkan kelulusan operasi empat syarikat kerana didapati melanggar syarat kelulusan yang ditetapkan.

Malahan, katanya, Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Semenanjung dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga sedang menyiasat sebanyak 35 syarikat yang dilaporkan melanggar syarat yang ditetapkan MITI.

“Orang awam juga boleh membuat aduan sama ada secara terus kepada PDRM atau MITI jika mengetahui sebarang kes pelanggaran SOP dalam kalangan syarikat,” katanya.

Tambah Mohamed Azmin, satu pasukan penguatkuasa yang terdiri daripada Jabatan Kerja Raya (JKR), Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) akan melakukan pemantauan untuk memastikan syarikat patuh akan peraturan yang digariskan.

“Pasukan penguatkuasa ini diwujudkan untuk memantau dan menguatkuasakan pematuhan oleh syarikat yang diluluskan serta mengambil tindakan ke atas syarikat yang beroperasi tanpa kelulusan,” katanya. – Sinar Harian