Bas Mini Bukan Aspirasi Wawasan 2020

1. Wawasan 2020 adalah dasar pandangan jauh dikemukakan Tun Dr. Mahathir sewaktu menjadi Perdana Menteri ke-4 ketika membentangkan kertas kerja khas bertajuk ‘Malaysia: Langkah Ke Hadapan’ pada persidangan pertama Majlis Perdagangan Malaysia pada 1 Mei 1991. Tahun 2020 merupakan satu tarikh keramat buat semua rakyat Malaysia, terutama golongan anak muda yang didendangkan dengan visi Wawasan 2020 sejak tahun 1991.

2. Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM) amat gusar dengan perkembangan dasar-dasar kerajaan Pakatan Harapan pada hari ini yang dilihat sebagai langkah ke belakang dan makin tersasar dari aspirasi Wawasan 2020. Dasar pengangkutan awam seharusnya menjadi lebih baik ke arah negara maju dan berpendapatan tinggi pada tahun 2020. Namun begitu, pada minggu lepas Kabinet telah meluluskan dasar motor “e-hailing” seperti GoJek dan semalam diumumkan pula bahawa perkhidmatan bas mini akan dilaksanakan kembali setelah dihentikan 21 tahun yang lalu. Anak muda amat gusar dengan perkembangan dasar-dasar pengangkutan awam yang ke belakang seperti GoJek dan bas mini.

3. Bas mini mula diperkenalkan pada tahun 1975, perkhidmatan itu ditamatkan pada 1998 selepas pihak berkuasa menggabungkan perkhidmatan pengangkutan awam di ibu negara. Bas mini merupakan pemandangan biasa di ibu negara dari 1970-an hingga 1990-an dan bas yang sentiasa sesak dengan penumpang itu dianggap sebagai pengangkutan awam paling murah pada masa itu. Adakah negara kembali kepada tahun 1970-an atau 1990-an?

4. Perdana Menteri ke-4 membatalkan perkhidmatan bas mini pada tahun 1998 kerana faktor keselamatan dan kesesakan lalu lintas. Malangnya kali ini, Perdana Menteri ke-7 membawa kembali perkhidmatan bas mini. Ironinya, Perdana Menteri ke-4 dan Perdana Menteri ke-7 merupakan orang yang sama. Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM) menggesa kerajaan memperkasakan perkhidmatan awam dengan melaksanakan dasar-dasar yang berikut:

a. Menggalakkkan pertumbuhan perkhidmatan awam yang bersih dan hijau. Tren elektrik seperti LRT dan MRT adalah contoh perkhidmatan awam ke arah negara maju.

b. Mengurangkan kesesakan jalan raya. Pertambahan motosikal melalui GoJek dan pertambahan bas mini bakal mengakibatkan kesesakan lalu lintas yang terus pada masa hadapan. Negara kita bakal menjadi seperti negara-negara jiran yang kurang integrasi sistem perkhidmatan awam, tetapi jalan raya dipenuhi oleh lambakan motosikal dan bas mini.

c. Keselamatan pengguna jalan raya. Seharusnya ini menjadi aspek penting yang diteliti oleh pihak kerajaan. Lambakan motosikal dan bas mini akan menjadikan statistik kemalangan jalan raya makin bertambah.

5. Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM) berharap kerajaan tidak membuang masa, tenaga, dan duit rakyat dengan mengadakan percubaan untuk membawa kembali perkhidmatan bas mini dan memulakan perkhidmatan motosikal “e-hailing”. Amat malang jika anak muda terpaksa menyambut tahun 2020 bersama aspirasi Wawasan 2020 dengan keadaan Malaysia seperti waktu 1970-an!

Selamatkan Kembali Malaysia!

#SelamatkanKembaliMalaysia #SaveMalaysiaAgain #PemudaMemimpin #PemudaIkatan #Ubahbalik

Shahir Adnan
Ketua Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM)
Parti IKATAN Bangsa Malaysia merangkap
Pemuda Gagasan Sejahtera