Bas Ekspres Terbabas, 27 Penumpang Selamat

SEREMBAN – Seramai 27 penumpang sebuah bas ekspres dari Kuala Lumpur ke Johor Bahru terselamat daripada terjunam ke dalam gaung selepas├é┬ábas itu yang terbabas, melanggar sebatang pokok.

Kejadian di kilometer 222.82 Lebuhraya Utara Selatan (Plus) arah selatan, berdekatan susur keluar Alor Gajah, Melaka berlaku selepas pemandu bas tersebut dikatakan hilang kawalan lalu merempuh penghadang jalan kira-kira pukul 4.15 petang tadi.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Rembau, Maszoraanim Abd Hamid berkata semua penumpang dan pemandu bernasib baik apabila bas itu melanggar pokok dan tersangkut di situ daripada terjunam ke dalam gaung.

“Alhamdulilah, tiada kemalangan jiwa. Pemandu dan 27 penumpang semuanya selamat. Tiada yang cedera parah, cuma ada beberapa yang cedera ringan.

“Namun semua mangsa telah dirawat di kawasan itu juga oleh pasukan perubatan sejurus diselamatkan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Menurut Maszoraanim, anggotanya bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan dan tiba di tempat kejadian pada pukul 4.49 petang. Kemalangan itu menyebabkan kesesakan sejauh lebih dua kilometer. – BERNAMA

Loading...