Barang Kemas RM500,000 Dilarikan Perompak Di Rawang

KUALA LUMPUR – Sebuah kedai emas dilaporkan kerugian RM500,000, dalam satu kejadian rompakan bersenjata melibatkan empat penjenayah di sebuah pusat membeli belah, di Batu 16, Rawang dekat sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Gombak, ACP Samsor Maarof berkata ketika kejadian, dua kakitangan dan seorang pengawal keselamatan berada di premis tersebut.

Polis menerima maklumat mengenai kejadian berkenaan sejurus sebelum 4 petang tadi.

“Empat suspek yang dipercayai memakai topi keledar bervisor penuh, berjaket lengan panjang dan bersarung tangan membawa objek menyerupai pistol serta tukul besi, didapati memecahkan cermin pameran untuk mengambil dan melarikan barang kemas berkenaan.

“Anggaran kerugian RM500,000 dan siasatan masih diteruskan,” katanya dalam satu kenyataan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan berkumpulan menggunakan senjata.

Loading...