Barang Depan Premis, Laluan Pejalan Kaki Disita

KUALA LUMPUR – Sikap pentingkan diri segelintir pemilik restoran di Jalan Delima 13 dan Jalan Prima Setapak 2, di sini, yang meletakkan barangan di depan premis dan laluan pejalan kaki mengundang padah apabila barang mereka disita dalam Operasi Tegas (Op Tegas), semalam.

Dalam operasi bermula 8 malam kelmarin hingga 1 pagi semalam, sebanyak sembilan restoran di kedua-dua lokasi terbabit didapati melakukan kesalahan halangan dengan meletakkan barangan jualan di kawasan awam.

Pengarah Jabatan Penguat Kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Azman Mahmood, berkata hasil pemeriksaan, pihaknya mendapati masih ramai pemilik restoran di kawasan terbabit yang melanggar peraturan dengan meletakkan barang mereka di kawasan awam.

“Kami merampas pelbagai barangan jualan restoran di dua lokasi berkenaan yang diletakkan di kawasan awam termasuk kerusi dan meja dalam operasi itu.

“Pemilik restoran tahu ia satu kesalahan meletakkan barangan jualan di luar premis serta laluan pejalan kaki, namun mereka tetap melakukannya. Ini kerana mereka mahu mengambil keuntungan berganda selain mahu menepati kemahuan pelanggan yang mahu menikmati hidangan di luar premis kerana mahu merokok,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Azman berkata, pihaknya turut menyita barangan jualan seorang lelaki warga Myanmar yang juga pemegang kad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) dalam operasi itu.

“Lelaki berusia lingkungan 20-an itu yang menjual shisha di Jalan Delima 13 didapati tidak memiliki lesen penjaja. Peralatan shisa milik lelaki berkenaan turut disita dalam operasi itu.

“Tindakan sita dilakukan mengikut Seksyen 46 (1) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 dan UUK 3 (1) Undang-Undang Kecil Pelesenan Penjaja dan Gerai 2016.

“Semua barang yang disita dibawa ke stor sitaan di Jalan Lombong, di sini, untuk tindakan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan menjalankan Op Tegas secara konsisten dalam usaha menangani isu peniaga dan penjaja yang didapati melanggar peraturan ditetapkan pihak berkuasa serta masalah penjaja tiada lesen.

“DBKL tidak akan bertolak ansur terhadap peniaga dan penjaja yang degil serta ‘kebal’ daripada undang-undang pihak berkuasa. Tindakan sewajarnya akan dikenakan terhadap mereka sekiranya didapati melakukan kesalahan,” katanya. – BH ONLINE

Loading...