Bapa Simbah Anak Dengan Air Panas

GEORGE TOWN – Seorang lelaki berumur 35 tahun yang cuba menuntut wang insurans mendiang ibunya melecur di muka selepas disimbah air panas oleh bapanya Selasa lepas, kata Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Che Zaimani Che Awang hari ini.

Katanya kejadian, yang menyebabkan mangsa yang tidak bekerja itu melecur di muka dan badan itu, berlaku kira-kira pukul 6.30 petang sewaktu dia cuba bertemu bapanya yang tinggal di rumah abang mangsa di Jalan Kaki Bukit di Gelugur dekat sini.

“Bapanya yang berumur 66 tahun dan bekerja sebagai penjual udang itu telah menghulurkan wang tunai RM10 melalui sebuah tingkap di rumah itu dan mangsa mendakwa semasa mendekati tingkap itu, dia telah disimbah dengan air panas,” katanya di sini.

Menurut mangsa, ibunya sewaktu masih hidup telah membeli insurans perlindungan dan setelah meninggal dunia pada 2005, bapanya telah memperoleh wang pampasan insurans berkenaan.

“Wang insurans itu telah diagihkan bapanya kepada adik-beradik mangsa yang lain yang seramai tiga orang namun tidak diberikan kepada mangsa, membuatkan mangsa bertindak untuk berulangkali menuntut bahagiannya (pembayaran wang insurans itu) daripada suspek,” katanya.

Che Zaimani berkata mangsa yang merupakan anak bongsu menuntut wang insurans sebanyak RM30,000 itu mendakwa kejadian ini merupakan kali kedua bapanya bertindak sedemikian terhadapnya.

“Polis telah merekodkan keterangan ayah mangsa dan dia dibebaskan dengan jaminan polis. Kami sedang melengkapkan siasatan kes ini yang dibuat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan,” katanya.

Loading...