Bapa Puas Impian Lihat Hafizh Ke Moto GP Tercapai

MINGGU lalu, pelumba negara, Hafizh Syahrin diumumkan sebagai pelumba Malaysia pertama yang akan bertanding dalam kelas perdana Moto GP di pentas Kejuaraan Grand Prix Motosikal Dunia.

Perkara tersebut nyata menggembirakan rakyat Malaysia apabila seorang anak muda kelahiran Selangor akan turut  bersaing bersama pelumba-pelumba handalan dunia dalam kelas tertinggi kejuaran motosikal bersama pasukan Monster Yamaha Tech 3.

Namun, tiada siapa yang lebih berbangga dengan pencapaian tersebut selain bapa pelumba itu sendiri, Abdullah Harun.

Lapor sebuah akhbar tempatan, tiada kata-kata lain mampu diucapkan Abdullah apabila Hafizh berjaya melangkah ke Moto GP selain mengungkapkan permohonan maaf kepada anaknya itu.

Jelas Abdullah, dia meminta maaf kerana merampas zaman kanak-kanak Hafizh semata-mata untuk merealisasikan impiannya sendiri untuk melihat anaknya itu bergelar pelumba handalan dunia satu hari nanti.

Ujarnya, dia sayu melihat kesusahan hidup yang terpaksa dilalui Hafizh sejak usia sembilan tahun apabila anaknya itu dibawa ke serata negara untuk menyertai perlumbaan pocketbike.

Walaubagaimanapun, dia tidak menyesal akan perkara tersebut kerana kini meraih hasil apabila menyaksikan kejayaan yang dicapai Hafiz kini.

“Saya berkata kepada Hafizh, ini saja yang ayah mampu bantu. Hafizh berusaha sebaik mungkin untuk jadi pelumba.

“Saya minta maaf kepada Hafizh sebab merampas usia kanak-kanaknya. Saya berasa usaha saya berbaloi pada hari ini, terima kasih,” katanya ketika dihubungi akhbar tersebut.

Mengimbau kembali keadaan ketika Hafizh mula berjinak-jinak dalam sukan permotoran, Abdullah berkata kenangan berkenaan sememangnya memeritkan disebabkan kekangan kewangan yang dihadapinya ketika itu.

Keadann itu menyebabkan dia tidak mampu memberikan kemewahan kepada anaknya itu.

“Saya hanya berbekalkan modal saya sendiri hasil pendapatan saya bekerja di bengkel motosikal yang saya usahakan.

“Bermula dari umur 10 tahun Hafizh mula tunjuk taring sebagai seorang pelumba. Sejak itu, boleh dikatakan di setiap negeri saya bawa Hafizh berlumba, sehingga dia menjadi juara pocketbike aircol dan watercol.

“Saya pusing satu Malaysia dengan kereta bersama Hafizh. Selama empat tahun Hafizh dalam perlumbaan pocketbike,” jelasnya.

Abdullah turut mendedahkan bahawa dia dan Hafizh pernah tidur di dalam kereta kerana tidak mampu untuk menginap di hotel yang dianggapnya sebagai salah satu pengalaman pahit manis diharunginya bersama Hafizh.

“Pengalaman suka dan duka telah saya lalui dengan anak saya itu. Dengan bajet yang memang tidak cukup, kereta saya pernah menjadi hotel untuk kami berdua,” ujarnya menceritakan tentang keadaan ketika awal pembabitan Hafizh dalam sukan tersebut.

Pencapaian Hafiz itu juga tidak dilepas pandang oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak apabila beliau mengucapkan tahniah atas kejayaan Hafizh tempoh hari.

Jelas Abdullah, dia kini sudah boleh menghela nafas lega apabila usaha dan susah payahnya selama ini kini mendapat pulangan berbaloi.

Bagi Abdullah, impiannya kini telah tercapai dan karier Hafizh kini sudah pun dianggapnya sebagai satu kejayaab besar buat mereka. – MYNEWSHUB.CC/EZ