Bapa Dakwa Syafiq Tak Terlelap Tetapi Mengelak Sesuatu

GEORGETOWN – Keluarga pemain bola sepak kebangsaan, Muhammad Syafiq Ahmad, terkilan dengan laporan yang mendakwa penyerang Johor Darul Takzim (JDT) itu disyaki terlelap ketika memandu hingga berlaku kemalangan di Kilometer 163.6 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) berhampiran Plaza Tol Jawi, Ahad lalu.

Bapa pemain terbabit, Ahmad Ibrahim, 56, berkata beliau dan keluarganya sedih membaca laporan yang mengatakan anak sulungnya itu dipercayai terlelap sebaliknya apa yang diceritakan Muhammad Syafiq adalah berlainan.

“Berkali-kali Syafiq memberitahu bahawa beliau ketika itu cuba mengelak sesuatu dan bukannya terlelap apatah lagi ketika itu Syafiq menceritakan bahawa dia sedang berbual dengan isterinya sebelum kejadian meragut nyawa bayi mereka, ibu mentua serta pembantu rumahnya berlaku dalam sekelip mata.

“Keluarga kami terkilan dan sedih dengan laporan yang mengatakan Syafiq dipercayai terlelap sebelum terbabit dengan kemalangan itu.

“Syafiq juga sudah memberi keterangan kepada polis semalam berhubung insiden yang menimpanya,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Polis sebelum itu memaklumkan siasatan awal yang dijalankan mendapati punca kemalangan yang meragut tiga nyawa itu disebabkan pemandunya dipercayai tertidur ketika memandu.

Ekoran daripada itu, kenderaan jenis Toyota Vellfire yang dipandunya hilang kawalan dan melanggar pembahagi jalan sebelum terseret sejauh kira-kira 30 meter dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, 

Muhammad Syafiq, 25, dalam perjalanan membawa isterinya, Nur Amalina Norain, 25 yang sedang berpantang ke kampung mentuanya di Pendang, Kedah.

Turut ada dalam kenderaan terbabit ialah ibu mentuanya, Zainab Wahab, 45, dan dua anak pemain bola sepak itu Aaira Nur Saffiya, 2 dan Muhammad Aisy Saqeef berusia 22 hari serta pembantu rumah warga Indonesia, Titik Sukamti, 42.

Nahas terbabit mengorbankan Zainab, Muhammad Aisy Saqeef dan Titik.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Lee Chong Chern mengesahkan pihaknya sudah mengambil keterangan Muhammad Syafiq berhubung kejadian kemalangan itu.

“Polis akan menyemak semua fakta yang ada untuk rujukan Timbalan Pendakwa Raya dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – BH Online