Bapa Cari Pelaku Video Malukan Anak Kes Duit Raya

BAGI kanak-kanak, sambutan Hari Raya Aidilfitri sangat ditunggu-tunggu kerana dapat pulang ke kampung halaman berjumpa sanak-saudara dan berpeluang mengumpul duit raya.

Jadi tidak hairanlah sekiranya ada di antara mereka yang sanggup berjalan merentasi kampung untuk menziarahi kediaman jiran tetangga bagi mendapatkan sampul raya.

Bagaimanapun, satu video yang tular di media sosial menunjukkan seorang lelaki mempermainkan sekumpulan kanak-kanak berhubung duit raya telah menimbulkan kemarahan netizen.

Dalam video yang mula tersebar beberapa hari lalu, seorang lelaki yang sedang memandu menegur kanak-kanak tersebut di bahu jalan dan menawarkan duit raya kepadanya.

Namun, ketika salah seorang kanak-kanak perempuan memberi respons positif, lelaki tersebut menyatakan duit raya telah habis dan terus berlalu pergi sambil ketawa terbahak-bahak.

Tindakan lelaki itu jelas mengecewakan orang ramai yang melihat video berkenaan menyebabkan ia tersebar luas di semua platform media sosial.

Malah, bapa kepada kanak-kanak perempuan yang dipermainkan lelaki tersebut tampil di Facebook memburu si pelaku kerana sengaja memalukan anaknya dengan memuat naik video berkenaan sehingga tular.

Terkesan dengan apa yang berlaku, Shahrulnizam Jaafar meminta bantuan netizen untuk mempertemukan dia dengan individu yang terbabit.

Menurut laporan mStar Online, Shahrulnizam mahu bertemu pelaku dalam video berkenaan bukan untuk mencederakannya seperti yang ditulis dalam akaun Facebook.

Sebaliknya, pesara tentera itu mahu lelaki tersebut tampil meminta maaf kepada anaknya dan kanak-kanak lain yang dirakam dan dipermainkan dalam video tersebut.

“Sebagai ayah saya tak boleh diamkan perkara ini. Tujuan saya nak jumpa dia bukan nak lepaskan geram, memukul atau mencederakannya.

“Ada yang suruh tumbuk, suruh pukul tapi saya masih waras dan tahu batas undang-undang.

“Saya pun tak nak berdendam dan biarkan ia berlarutan. Saya mahu dia tampil dan memohon maaf kepada anak saya dan sepupunya yang dirakam dalam video itu,” katanya ketika dihubungi portal berkenaan.

Menurut Shahrulnizam, anaknya, Nur Qistina Huda ada memaklumkan kepadanya mengenai kejadian tersebut yang berlaku pada hari raya pertama, Jumaat lalu.

Kanak-kanak berusia lapan tahun itu bersama dua sepupunya mengadu kepada Shahrulnizam bahawa mereka diganggu seorang lelaki yang menaiki kereta di sekitar Kampung Sungai Keria, Perlis pada hari kejadian.

Shahrulnizam berkata, kejadian itu menyebabkan anaknya itu hilang mood beraya pada hari tersebut.

Bagaimanapun, dia tidak menyangka terdapat video mengenai insiden itu sehingga diberitahu adiknya, semalam.

“Mungkin orang tu niat nak bergurau tapi tak kena tempat. Cuba bayangkan kalau saudara mara sendiri yang kena.

“Perkara ini saya kira agak mengaibkan. Kalau kawan-kawan dia di sekolah tengok video ni dan dia kena ejek, kesian anak saya,” jelasnya lagi.

Dalam pada itu, video asli yang dimuat naik sendiri oleh pelaku tersebut menerusi laman Twitter telah dipadam.

Malah, akaun Twitter milik lelaki berkenaan juga telah dinyahaktifkan selepas dihentam teruk oleh orang ramai yang mengecam tindakan biadapnya itu. – MYNEWSHUB.CC/EZ

Loading...