Banyak ‘Goodies’ Untuk Sabah Dan Sarawak

KUALA LUMPUR – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) terus komited mengutamakan keperluan Sabah dan Sarawak melalui pelbagai ‘goodies’ untuk kedua-dua negeri itu menerusi Belanjawan 2020 yang dibentangkan hari ini.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, Sabah dan Sarawak kekal sebagai negeri yang menerima Perbelanjaan Pembangunan tertinggi dengan peruntukan masing-masing sebanyak RM5.2 bilion dan RM4.4 bilion bagi tahun hadapan.

Beliau berkata, kerajaan bercadang untuk menggandakan pemberian khas tahunan di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan kepada Sabah dan Sarawak bermula tahun 2020.

Jelasnya sejak 1969, pemberian khas yang merupakan sebahagian daripada geran persekutuan itu, iaitu sebanyak RM26.7 juta untuk Sabah dan RM16 juta untuk Sarawak, belum pernah disemak semula.

“Oleh itu buat pertama kalinya bermula tahun 2020, kerajaan Pakatan Harapan bercadang untuk menggandakan kadar tersebut kepada RM53.4 juta untuk Sabah dan RM32 juta untuk Sarawak,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat.

Lim berkata, bagi menunjukkan keprihatinan terhadap rakyat di Sabah dan Sarawak, kerajaan akan menggandakan lagi kadar pemberian khas sehingga RM106.8 juta untuk Sabah dan RM64 juta untuk Sarawak dalam tempoh lima tahun.

Beliau berkata, kerajaan juga akan memperuntukkan kira-kira RM587 juta untuk Projek Bekalan Air Luar Bandar, di mana RM470 juta untuk Sabah dan Sarawak bagi memenuhi sasaran 99 peratus akses kepada air bersih.

Selain itu, beliau berkata, kerajaan juga akan membelanjakan RM500 juta untuk Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar yang memberi manfaat kepada lebih 30,000 isi rumah luar bandar di mana majoriti penerima faedah tinggal di Sabah dan Sarawak.

“Bagi memastikan pembangunan luar bandar khususnya Sabah dan Sarawak mendapat barang keperluan asas seperti LPG dan petrol pada harga yang berpatutan, kerajaan akan memperuntukkan RM170 juta untuk membiayai kos pengangkutan dan pengedaran barang asas ke luar bandar,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga komited untuk menyiapkan projek Lebuh Raya Pan Borneo, di mana proses rasionalisasi kos setakat ini telah menghasilkan penjimatan sebanyak RM1.2 bilion dan mengurangkan kos projek kepada RM29 bilion.

Loading...