“Bantahan Ikatan”

1. Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN) telah ditubuhkan pada 7 Jun 2012 oleh Tan Sri Datuk Seri Panglima Abdul Kadir Bin Haji Sheikh Fadzir. Parti IKATAN seterusnya diluluskan ROS pada 5 Jun 2015 setelah mengharungi pelbagai dugaan dan cabaran untuk mendapatkan kelulusan. Hampir 3 tahun diambil untuk ROS meluluskan permohonan penubuhan parti baharu. Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM) berpandangan bahawa jika ada parti yang mendapat kelulusan kurang dari 3 tahun, itu adalah satu keistimewaan bagi mereka.

2. Pada pandangan saya masa yang lama bagi mendapatkan kelulusan bagi sesebuah parti politik adalah suatu perkara yang tidak asing lagi. Sudah tentu ROS perlu menjalankan tugas mereka iaitu memastikan parti yang diluluskan adalah satu-satu parti yang mempunyai ideologi dan objektif yang ingin dibawa dan diperjuangkan. Rasa saya jika ini telah disediakan kepada ROS sudah tentu ROS tidak mempunyai masalah untuk meluluskan.

3. Oleh itu, nasihat saya kepada saudara YB Syed Saddiq, carilah ideologi bagi parti anda, utarakanlah objektif parti anda dan apakah yang sebenar-benarnya anda perjuangkan, mungkin dengan itu ROS akan pertimbangkan kelulusan parti anda. Pentingnya bagi satu-satu organisasi itu mempunyai hala tuju yang jelas bagi mencapai objektif mereka. Kelulusan ROS bukan hanya untuk mendapatkan akaun bank seperti yang dicanang segelintir ahli MUDA.

4. Akan tetapi, isu paling besar buat masa ini adalah nama MUDA, Parti Ikatan Demokratik MUDA. Pada pendapat saya pengasas parti MUDA perlu lebih kreatif didalam mencari nama yang sesuai untuk parti mereka. Perlukah penggunaan nama Ikatan di dalam parti anda? Sedangkan nama Ikatan telah lama diguna pakai oleh Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN) semenjak 2012. Sudah hampir 8 tahun nama IKATAN sinonim dengan Parti Ikatan Bangsa Malaysia. Kenapa perlu nama yang sama? Tidakkah MUDA yang diwarwarkan sebagai penggerak anak muda itu tidak kreatif dan menjadi “copycat” serta tiada identiti sendiri?

5. Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM) telah membuat bantahan secara rasmi kepada ROS berkenaan isu ini. Diharapkan Pengasas MUDA lebih bertanggungjawab dan tidak semberono dalam membuat keputusan politik. Tukarlah nama parti anda kepada nama lain. “Alliance” boleh diubah daripada “IKATAN” kepada “Pakatan” kerana MUDA dilihat dibelakangi oleh figura Pakatan Harapan seperti Tommy Thomas dan Ambiga yang kini mahu menyaman ROS.

Malaysia Sejahtera!

#MalaysiaSejahtera

#MuafakatNasional

#PerikatanNasional

#PemudaIkatan

#IsuRakyat

Shahir Adnan
Ketua Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM)
Parti IKATAN Bangsa Malaysia merangkap
Timbalan Pengerusi IKATAN Kelantan