Bank Negara Sangkal Malaysia Manipulasi Mata Wang

KUALA LUMPUR- Bank Negara Malaysia (BNM) menyangkal dakwaan Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) yang mengatakan Malaysia berpotensi untuk memanipulasi mata wang.

Perbendaharaan AS hari ini meletakkan Malaysia bersama Singapura dan Vietnam dalam senarai pemantauan manipulasi mata wang.

BNM dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata, ekonomi Malaysia kekal kukuh disokong oleh asas ekonomi yang kuat termasuk keupayaan untuk mengapungkan mata wang dan memiliki baki luar yang kukuh.

“Malaysia menyokong perdagangan bebas dan adil tetapi tidak mengamalkan ketidakadilan mata wang.

“Malaysia mengguna pakai rejim pengapungan tukaran mata wang asing. Kadar tukaran ringgit adalah ditentukan pasaran dan tidak bergantung kepada eksport.

“Seperti yang dimaklumkan di dalam laporan tersebut, intervensi BNM beberapa tahun lalu dilakukan melalui kedua-dua hala dalam pasaran tukaran wang asing.

“Sebarang intervensi adalah terhad demi untuk memastikan pasaran yang teratur dan mengelakkan kemeruapan tukaran asing berlebihan yang mungkin boleh menjejaskan kestabilan makroekonomi.

“Fakta menunjukkan ringgit sejak beberapa tahun lalu berhadapan dengan pelbagai episod naik dan turun sekali gus menunjukkan fleksibiliti dalam tukaran asing.

“Sebagai sebuah ekonomi yang kecil dan sangat terbuka, akaun semasa baki pembayaran Malaysia ditentukan oleh perkembangan dalam dan luar negara termasuk pusingan ekonomi dan struktur,” katanya.

Tambah BNM, kira-kira separuh daripada lebihan dagangan Malaysia dipacu oleh eksport komoditi yang kebanyakannya dipengaruhi oleh permintaan dan bekalan global dan bukannya tukaran asing.

Lebihan pengilangan pula dipacu sebahagiannya oleh kehadiran syarikat-syarikat multinasional yang berorientasikan eksport yang bertapak sejak sekian lama di Malaysia termasuk dari AS.

Lebihan akaun semasa ini menunjukkan kepelbagaian dalam ekonomi Malaysia.

Penyenaraian di dalam Senarai Pemerhatian itu tidak mempunyai kesan terhadap ekonomi Malaysia, kata BNM.

Loading...