Banjir Melanda, Penoreh Hilang Pendapatan

RANTAU PANJANG – “Kedatangan musim tengkujuh menyebabkan saya hilang punca pencarian, hanya bergantung kepada wang simpanan hasil menoreh sebelum ini,” itulah antara luahan penoreh getah, Makhtar Said, 67, yang juga mangsa banjir di Kampung Putat Tujuh, di sini.

Makhtar mula terputus punca pencarian selepas kampungnya mula dinaiki air separas dua meter sejak seminggu lalu dan terperangkap akibat jalan utama ditenggelami air.

Katanya, dia dan isteri, Jizah Jusof, 60, serta tiga anaknya yang berusia 22 hingga 37 tahun hanya mengharapkan kepada sumber makanan yang ada seperti buah-buahan, air kelapa dan telur ayam kampung untuk dijadikan juadah harian ketika banjir.

“Selain menoreh getah, saya juga juga memelihara kambing dan ayam. Bila musim tengkujuh begini, saya terpaksa menempatkan semua haiwan ternakan di tempat yang lebih tinggi.

“Terdapat alternatif lain untuk keluar tetapi melalui jalan hutan yang jauh atau menggunakan kenderaan berat yang boleh mengharungi air yang dalam.

“Kampung saya ini memang awal dinaiki air, biarpun Sungai Golok masih belum di paras bahaya, tetapi kami penduduk di sini sudah merasai kesannya,” katanya ketika ditemui NSTP, di sini, hari ini.

Makhtar berkata dia juga sudah membuat persediaan awal sebelum ini dengan membeli bekalan makanan seperti beras, minyak dan biskut.

“Namun, biasanya kami akan terperangkap paling kurang 10 hari, jadi jika bekalan dibeli sudah habis, kami sekeluarga hanya bergantung pada sumber makanan yang ada di sekitar rumah.

“Saya tidak boleh mengeluh kerana banjir memang lumrah alam, malah kami penduduk di sini sudah biasa dan terpaksa menempuh ujian ini.

“Harapan saya semoga banjir kali ini tidak mendatangkan bahaya dan tiada sebarang perkara tidak diingini berlaku,” katanya. – BH ONLINE

Loading...