Banjir Di Kelantan Semakin Buruk

KOTA BHARU – Keadaan banjir di Kelantan semakin buruk dengan 7,342 mangsa daripada 2,324 keluarga dipindahkan, setakat jam 12 tengah hari tadi.

Kesemua mereka ditempatkan di 74 pusat pemindahan sementara (PPS) di lapan daerah, iaitu Pasir Mas, Kota Bharu, Tanah Merah, Pasir Puteh, Machang, Bachok, Jeli dan Kuala Krai.

Berdasarkan aplikasi info bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jeli muncul daerah terbaru dilanda banjir dengan 217 mangsa daripada 87 keluarga ditempatkan di empat PPS.

Pasir Mas pula masih mencatatkan bilangan mangsa paling ramai, iaitu 3,763 orang daripada 1,347 keluarga di 22 PPS, diikuti Kuala Krai yang meningkat kepada 971 mangsa (231 keluarga) di 17 PPS.

Di Kota Bharu, 821 mangsa (229 keluarga) ditempatkan di enam PPS, sementara di Pasir Puteh, 659 mangsa (177 keluarga) berada di tujuh PPS.

Tanah Merah pula membabitkan 426 mangsa (125 keluarga) di sembilan PPS; Machang 225 mangsa (67 keluarga) di enam PPS; dan Bachok 260 mangsa (61 keluarga) di dua PPS.

Sementara itu, berdasarkan infobanjir.water.gov.my, empat sungai mencatatkan bacaan pada paras bahaya, iaitu Sungai Golok di Rantau Panjang 10.45 meter (m); Sungai Golok di Jenob 24.37m; Sungai Kelantan di Kusial Tanah Merah 16.12m; dan Sungai Kelantan di Kuala Krai 25.23m.

Sungai Lebih di Tualang pula berada di paras amaran 33.74m. – BH Online

Loading...