Planetarium Melaka Baharu Dibina Kos RM200 Juta

MELAKA – Bangunan baharu Planetarium Melaka berkonsepkan ‘Galaxy World Melaka’ akan dibina dengan kos RM200 juta kerana bangunan sedia ada didapati tidak selamat untuk beroperasi, kata Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan Melaka, Datuk Muhammad Jailani Khamis.

Beliau berkata inisiatif tersebut dengan kerjasama syarikat swasta itu turut bertujuan memberi nafas dan imej baharu pada pengoperasian planetarium yang terletak di kawasan Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka dalam usaha menarik lebih ramai kedatangan pengunjung.

Katanya Planetarium Melaka juga akan diberi nama baharu serta dilengkapi dengan pelbagai tarikan pelancongan lain seperti ‘Snow World’, ‘Galaxy World’ yang menggunakan teknologi dari luar dan usaha berkenaan dijangka dapat direalisasikan dalam tempoh dua tahun akan datang.

“Bangunan Planetarium Melaka ini sebenarnya telah diarah dan dalam proses menutup operasinya kerana bukan sahaja bangunannya dilihat tidak selamat malah infrastruktur di sekeliling turut tidak diselenggara dengan baik dan boleh mendatangkan bahaya kepada pengunjung atau kakitangan.

“Selain itu, ia antara projek ‘gajah putih’ kerajaan terdahulu yang tidak mendatangkan keuntungan kepada kerajaan negeri kerana setiap bulan mencatatkan kerugian. Matlamatnya bagus tapi pelaksanaannya tidak,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Semalam, Bernama melaporkan sebahagian siling kapur di ruang pameran Planetarium Melaka runtuh dalam kejadian hujan lebat dan ribut di Ayer Keroh di sini dan menyebabkan bangunan itu diarah tutup serta-merta sebagai langkah keselamatan.

Planetarium Melaka dibuka kepada umum pada 10 Ogos 2009 dan pembinaannya menelan kos RM20 juta.​​​​​​​​​​​​​​

Mengulas lanjut, Muhammad Jailani berkata inisiatif berkenaan akan mula dilaksanakan sebaik keputusan sama ada bangunan sedia ada perlu dirobohkan atau tapaknya dikekalkan.

Dalam pada itu, beliau berkata bahan pameran di pusat berasaskan pendidikan itu juga tidak dikemas kini mengikut perkembangan semasa dan menyebabkan ianya kurang dikunjungi.

Sementara itu, Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam negeri Datuk Mohd Sofi Abdul Wahab berkata siasatan awal yang dilakukan Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri berhubung insiden yang berlaku di Planetarium Melaka semalam mendapati satu dinding batu-bata berukuran 5 meter x 7 meter runtuh sebelum menimpa siling kapur gantung di bahagian ruang pameran pusat berkenaan.​​​​​​​

Beliau berkata terdapat tiga lagi bahagian dinding batu-bata berukuran sama di bahagian berkenaan dikhuatiri turut berpotensi jatuh sekiranya langkah pencegahan keselamatan tidak dilakukan.

“Penyiasatan dan kajian terperinci akan dilakukan forensik dari JKR Ibupejabat dala masa terdekat bagi mengenal pasti punca kejadian berkenaan dan laporan siasatan dijangka dapat diperoleh dalam tempoh seminggu sebelum keputusan lanjut boleh dilakukan,” katanya selepas melakukan tinjauan di Planetarium Melaka hari ini. – BERNAMA

Loading...