Banduan Akhir Islam Jalani Hukuman Mati

ALABAMA – Banduan akhir Islam dihukum mati kelmarin seperti dijadualkan pada asalnya, selepas Mahkamah Agung Amerika Syarikat menolak permintaan beliau supaya imam menyaksikan hukuman itu.

Peguam kepada Domineque Ray, 42, menyatakan dasar hukuman Alabama menyebelahi banduan Kristian kerana paderi dibenarkan berada dalam bilik hukuman, selalunya melutut bersebelahan banduan akhir, dan berdoa bersama-sama jika diminta.

Ray dihukum mati pada jam 10.12 malam waktu tempatan, kata jurucakap Jabatan Pemulihan.

Hukuman ke atas Ray ditangguhkan sementara kerana beliau meminta imam menggantikan paderi dalam bilik hukuman mati.

Kelmarin, Mahkamah Rayuan Sirkit ke-11 AS bersetuju menangguhkan hukuman untuk mempertimbangkan hujah Ray, tetapi negeri Alabama segera merayu keputusan itu kepada Mahkamah Agung, yang menolak keputusan Mahkamah Sirkit.

Ray dijatuhi hukuman mati pada 1999 kerana membunuh Tiffany Harville, 15, yang hilang dari rumahnya di Selma, Alabama pada Julai 1995.

Tidak jelas sama ada negeri Alabama membenarkan imam turut berada dalam bilik hukuman. — Reuters

Loading...