Bandar Malaysia Kini Milik Kementerian Kewangan

PUTRAJAYA – Dakwaan kononnya projek Bandar Malaysia di bekas Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Sungai Besi di ibu negara dikuasai oleh syarikat China kini bukan lagi isu.

Sebaliknya tapak strategik seluas 198 hektar itu dikuasai 100 peratus Kementerian Kewangan, berikutan terbatal perjanjian jualan saham (SSA) Bandar Malaysia dengan pihak pemegang saham projek tersebut sebelumnya.

Ia melibatkan Iskandar Waterfront Holdings Sdn. Bhd. (IWH) dan China Railway Engineering Corperation (M) Sdn. Bhd. (CREC), membabitkan sebanyak 60 peratus modal terbitan dan berbayar dalam Bandar Malaysia Sdn. Bhd.

Media melaporkan ia kerana kegagalan pihak berkenaan untuk menunaikan tanggungjawab pembayaran seperti mana termaktub dalam syarat SSA yang ditandatangani pada 31 Disember 2015 biarpun lanjutan tempoh diberikan.

Perkara tersebut dimaklumkan menerusi satu kenyataan pada petang Rabu oleh TRX City Sdn. Bhd. yang mana Kementerian Kewangan sendiri adalah pemegang tunggal kepentingan dalam projek perbandaran mega tersebut.

Susulan itu, kata TRX City, dengan mengambil kira kepentingan nilai tanah Bandar Malaysia, ia akan mengekalkan pemilikan penuh terhadap kawasan itu demi memastikan rakyat Malaysia meraih manfaat hasil pembangunannya.

TRX City juga dalam kenyataan itu memberitahu, dalam masa terdekat ini akan mempelawa pihak yang berminat sebagai pemaju induk Bandar Malaysia dengan pemilikan 100 peratus dikekalkan pada Kementerian Kewangan.

Proses pemilihan tersebut akan melibatkan kriteria yang ketat termasuk rekod pencapaian atau prestasi syarikat, kadar tempoh pelaksanaan dan kemampuan kewangan bagi projek pembangunan hartanah berskala besar itu.

Projek hartanah kos RM7.41 bilion itu, menyaksikan TUDM mendapat beberapa pangkalan baharu sebagai ganti termasuk di Sendayan, Negeri Sembilan seluas 303 hektar menerusi pelan penyusunan semula kem Sungai Besi.

Kerajaan Emiriyah Arab Bersatu (UAE) turut akan membina sebuah kompleks masjid di Bandar Malaysia sebagai satu hadiah terhadap hubungan akrab yang sedia terjalin antara Malaysia dengan negara rantau Asia Barat itu.

“Ini penting bagi mempertingkatkan lagi semua aspek dalam pembangunan Bandar Malaysia termasuk peranannya sebagai hab perniagaan, pengangkutan, penempatan dan pelancongan kepada negara secara keseluruhan.

“Langkah bertujuan memastikan tidak wujud masalah jangka panjang dalam pembangunan Bandar Malaysia dan apabila siap kelak, ia dapat menepati kepentingan negara pada tahap lebih baik berbanding sebelumnya,” katanya.

Malah, Bandar Malaysia terletak tiga kilometer dari Tun Razak Exchange (TRX) dan melibatkan pembangunan semula lapangan terbang lama Sungai Besi; juga bakal berperanan sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi.

Ia merupakan pembangunan bercampur yang dijangka menggalakkan pendekatan kesesuaian didiami sebagai ciri-ciri urban tersendiri bagi Greater KL serta mengetengahkan prasarana hijau, perumahan mapan dan gaya hidup.

“Bersandarkan faktor kelebihan sebagai tapak pembangunan terbesar di Malaysia dan di kedudukan strategik, ia akan menawarkan banyak peluang perniagaan, pelaburan dan pekerjaan termasuk Bandar Internet Kuala Lumpur.

“Kawasan baharu tersebut akan menjadi hab Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) manakala Bandar Malaysia juga akan muncul sebagai nukleus pengangkutan awam yang bersepadu di Malaysia,” kata kenyataan TRX City.

Ini kerana lokasinya menghubungkan perkhidmatan Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR), laluan Transit Aliran Massa (MRT), tren Komuter KTM, Express Rail Link (ERL) dan 12 lebuh raya.

Sebelum ini, projek Bandar Malaysia dengan firma China itu, dimomokkan pihak pembangkang yang menyebar sentimen kononnya kerajaan sudah ‘jual’ aset penting negara kepada pihak China. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

Loading...