Friday, March 29, 2024

Creating liberating content

Isu Tanah Rizab Orang...

BERA - Isu tanah rizab masyarakat Orang Asli dijangka selesai sepenuhnya pada penghujung...

2 Anak Lelaki Penumpang...

KUALA LUMPUR - Dua anak lelaki penumpang pesawat MH370 hari ini memfailkan saman...

Gempa Bumi Lemah 4.0...

KUALA LUMPUR - Gempa bumi lemah berukuran 4.0 pada skala Richter berlaku di...

Jemaah Indonesia Selawat Tunggu...

MAKKAH - Baru sahaja tadi kita digemparkan dengan berita mengenai hujan lebat beserta...

Balu Anggota Bomba Maut Operasi SAR Harap Bantuan

KUANTAN – Kelam dan tidak tahu bagaimana hendak meneruskan kehidupan selepas ini dengan dua anak yang masih kecil, itulah dilema yang dialami oleh balu Mohd Fatah Hashim, salah seorang daripada enam anggota bomba yang meninggal dunia semasa menjalankan operasi mencari dan menyelamat di lombong berhampiran Taman Putra Perdana, Puchong, Selangor, dua hari lalu.

Noor Nadia Kamaludin, 29, berkata kehidupan mereka sekeluarga sebelum ini bergantung kepada gaji bulanan arwah suaminya itu, selain dia sendiri turut menjual kuih secara kecil-kecilan berhampiran rumah sewanya di Kampung Delek, Klang, bagi menampung perbelanjaan harian.

Beliau berkata dengan pendapatan hasil menjual kuih yang tidak seberapa dan pencen bulanan yang akan diperolehi selepas ini, beliau menjangka pastinya tidak mampu untuk membayar sewa bulanan rumah yang diduduki sekarang yang berjumlah RM500 sebulan.

“Sekarang saya masih belum ada apa-apa perancangan lagi… mungkin saya akan bekerja untuk tampung keluarga, tetapi terlebih dahulu saya mahu uruskan dahulu soal anak-anak kerana mereka masih kecil,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas menerima lawatan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Sani Harul di rumah keluarga arwah suaminya di Kampung Baru Beserah, di sini hari ini.

Sehubungan itu Noor Nadia amat berharap agar kerajaan dapat membantunya memiliki rumah sendiri untuk dia membesarkan dua anaknya yang masih kecil itu iaitu Nur Medina Aisya, yang berumur tiga tahun dan Muhammad Meqa Al-Asyraf, setahun.

“Sebelum ini arwah ada menyatakan hasrat membeli rumah sendiri untuk kami sekeluarga, namun duit simpanan masih belum mencukupi. Sekarang ini saya amat berharap agar pihak kerajaan sudi untuk membantu mempermudahkan urusan kami sekeluarga untuk memiliki rumah bagi meringankan beban,” katanya.


Katanya ketika ini beliau masih belum memutuskan sama ada untuk menetap di Pahang untuk dekat dengan pusara suaminya ataupun tinggal berhampiran dengan keluarganya di Johor.

Sementara itu ibu kepada Mohd Fatah, Sharifah Adzam Syed Mohamad, 68, amat berharap agar kerajaan negeri Pahang dapat membantu bagi mendapatkan sebuah rumah Perumahan Makmur atau PR1MA Pahang buat menantu dan dua cucunya yang masih kecil itu.

“Biarlah mereka tinggal di sini, senang untuk kami sekeluarga membantu apa yang perlu sebab keluarga mereka di Johor juga hanya tinggal menyewa,”katanya.

Sementara itu Wan Rosdy berkata kerajaan negeri bersedia untuk membantu meringankan sedikit sebanyak beban keluarga Mohd Fatah dan akan melihat keperluan mereka.

Mohd Fatah merupakan salah seorang daripada enam anggota Pasukan Penyelam Di Air (PPDA) yang terkorban dalam kejadian malam Rabu lepas ketika menjalankan operasi mencari menyelamat seorang remaja yang dilaporkan lemas di sebuah lombong di Puchong. –BERNAMA

Kategori