Bakal Jadi Jutawan Kerana Harta Karun Sultan Tipu

BERKSHIRE – Sepasang suami isteri bakal bergelar jutawan selepas penemuan sejumlah harta karun milik seorang pemerintah India di loteng kediaman mereka di sini baru-baru ini.

Barang peninggalan tersebut dipercayai dirampas daripada istana Sultan Tipu selepas pemimpin itu tewas dengan pasukan tentera Britain pimpinan Duke of Wellington pada tahun 1799.

Antara barangan itu ialah pistol milik Sultan Tipu yang pernah digunakan dalam pertempuran terakhir menentang penjajah British.

Selain pistol, empat bilah pedang, sebuah perisai, bekas simpanan kacang dan cincin emas dilaporkan dibawa ke Britain oleh Mejar Thomas Hart sebaik kerajaan Mysore tewas kepada Syarikat Hindia Timur Inggeris di India.

Britain mengisytiharkan perang ke atas Sultan Tipu selepas memintas sepucuk surat daripada diktator Perancis, Napoleon Bonaparte. Surat itu mencadangkan agar Sultan Tipu bergabung dengan Perancis untuk menentang Britain.

Sejak itu, harta karun berkenaan berada dalam simpanan keluarga Hart. Kini, warisnya iaitu pasangan suami isteri tersebut bakal menjadi jutawan disebabkan artifak itu.

Pada tahun 2016, barangan lain milik Sultan Tipu berjaya dilelong pada harga £6 juta (RM32.2 juta). Kini, koleksi yang dimiliki pasangan itu akan dilelong di Hotel Milton House Hotel, dekat Abingdon, Oxfordshire pada 26 Mac ini. – Agensi

Loading...