Baju Melayu Setaraf Lounge Suit – Mubarak Selangor

SHAH ALAM – Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) Selangor menggesa Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Ng Suee Lim menarik balik kenyataan terhadap larangan pemakaian baju Melayu ketika sidang dewan berlangsung kecuali pada hari Jumaat.

Pemangku Mubarak Selangor, Tan Sri Zainal Dahalan berkata, tindakan Ng adalah sesuatu yang tidak sesuai dan perlu ditarik balik kerana baju Melayu adalah pakaian kebangsaan yang diletakkan setaraf dengan pakaian formal bagi majlis rasmi.

“Baju Melayu ini pakaian rasmi orang Melayu sejak turun temurun, ia mempunyai status sama dengan lounge suit, pakaian rasmi nombor satu yang dipakai oleh penjawat awam pada majlis rasmi kerajaan.

“Kenyataan dan ruling ini kali pertama berlaku meskipun sebelum ini dua speaker DUN terdiri daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti DAP iaitu Hannah Yeoh dan Datuk Teng Chang Kim,” katanya yang juga bekas Speaker DUN Selangor bagi tahun 1990 sehingga 1995.

Turut hadir Tan Sri Onn Ismail, yang juga bekas Speaker DUN Selangor, pada tahun 1995 sehingga 2008.

Tambah Zainal, pihaknya memberi tempoh kepada Ng sehingga tamat mesyuarat ketiga penggal pertama sidang DUN Selangor ke-14 pada Khamis ini untuk menarik balik kenyataan berkenaan atau pihaknya akan membawa memorandum mengenai perkara berkenaan kepada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Pada Selasa lepas, Ng menegur Anggota DUN Taman Templer dari Parti Amanah Negara, Sany Hamzan kerana memakai baju Melayu ketika sesi persidangan.

Dalam teguran itu, Ng berkata Sany telah melanggar peraturan DUN, dan meminta Sany menghormati etika berpakaian. – BERNAMA

Loading...