Bajet 2019: Cuepacs Tidak Beri Tekanan Kepada Kerajaan PH

KUCHING – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) tidak akan memberi tekanan kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) dalam Bajet 2019 dan menyerahkan kepada kerajaan baharu itu untuk menimbangkan apa yang wajar diberikan kepada penjawat awam.

Presidennya Datuk Azih Muda berkata langkah itu diambil memandangkan ini adalah bajet pertama kerajaan PH, lagipun negara kini dibebani hutang yang tinggi.

“Terpulang kepada kerajaan untuk menentukan apa yang wajar dipertimbangkan (untuk penjawat awam),” katanya ketika ditanya apakah harapan Cuepacs dalam Bajet 2019 berhubung kenaikan gaji, elaun dan faedah-faedah lain untuk penjawat awam.

Azih ditemui pemberita selepas menyampaikan taklimat isu-isu perkhidmatan awam di Mes Pegawai Polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak di sini, hari ini.

Bajet 2019 akan dibentangkan oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng di Parlimen pada 2 November depan.

Dalam pada itu, Azih meminta campur tangan kerajaan untuk mengawal harga rumah yang melambung tinggi termasuk rumah yang dikategorikan sebagai rumah mampu milik.

Beliau berkata harga rumah yang sangat tinggi sekarang melebihi kemampuan bakal pembeli, khususnya dalam kalangan penjawat awam.

“Kita meminta supaya kerajaan mengkaji semula caj dan cukai-cukai yang dikenakan dan harapan kita supaya kerajaan yang baharu mencari cara bagaimana penjawat awam mampu memiliki rumah yang harganya di bawah RM200,000.

“Ini kerana jika rumah mampu milik dijual dengan harga melebihi RM200,000 seunit hanya segelintir sahaja pejawat awam yang akan mampu membeli dan memilikinya,” katanya.

Azih turut menggesa kerajaan mempertimbangkan peruntukan dana untuk membaik pulih rumah kerajaan atau kuarters yang sudah rosak dan uzur.

“Disebabkan sewa rumah yang terlalu tinggi di luar maka penjawat awam boleh mendiami kuarters kerajaan berkenaan,” katanya. – BERNAMA

Loading...