Baik Pulih Tebing Runtuh Mula Minggu Depan

GEORGE TOWN – Kerja-kerja membaik pulih tebing di Jalan Bukit Lama dari Bayan Lepas ke Balik Pulau dekat sini yang runtuh 23 Oktober lepas, dijangka bermula minggu hadapan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir Pulau Pinang Zairil Khir Johari berkata pihaknya menerima peruntukan RM1.7 juta daripada Kementerian Kewangan pada 7 Nov lepas untuk membolehkan kerja-kerja pembaikan dilaksanakan segera.

“Isnin ini surat lantikan kontraktor akan dikeluarkan dan kerja-kerja pembinaan boleh bermula dengan secepat mungkin minggu depan. Kerja-kerja membaik pulih dijangka akan mengambil masa tiga ke empat bulan,” katanya kepada pemberita selepas persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, di sini hari ini.

Zairil berkata sepanjang kerja-kerja membaik pulih dijalankan hanya satu lorong di jalan itu akan dibuka kepada kenderaan ringan.

Kejadian tebing runtuh di kawasan itu pada 23 Okt lepas dipercayai berpunca daripada hujan lebat lebih dua jam yang menyebabkan satu lorong di jalan itu ditutup sementara.

Isnin lepas (5 Nov), beberapa penduduk di Balik Pulau mendakwa penutupan sementara satu lorong di jalan persekutuan itu menjejaskan perniagaan dan sektor pembinaan di daerah itu. – BERNAMA

Loading...