MERIAH… Meskipun tiada lagi siaran langsung menerusi stesen televisyen tempatan, persiapan menjelang Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2018 di ibu pejabat parti itu tetap berjalan meriah.
Lokasi Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sudah mula terasa ‘bahang’ kemeriahan PAU bagi tahun ini apabila petugas mula sibuk memasang hiasan di tiang utama, poster grafik, sepanduk dan bendera di seluruh bangunan.
Malahan kawasan sekitar turut berubah dengan imej UMNO bagi menanti kehadiran ribuan perwakilan, ahli parti, dan orang ramai yang terus menyokong organisasi siasah Melayu Islam terbesar di dunia berusia 72 tahun itu.
Selain staf ibu pejabat sibuk buat persiapan urusan dokumentasi bahan persidangan, sukarelawan yang terlibat juga dalam proses penyempurnaan tugasan di peringkat akhir bagi melangsungkan persidangan tahunan parti tersebut.
Tidak ketinggalan, seperti kelaziman seperti tahun-tahun sebelum ini ratusan gerai jualan turut mewarnai PAU, yang bakal tawar pelbagai jenis produk tekstil, kesihatan, bahan bacaan dan lain-lain lagi di aras dua PWTC.
Apa yang curi tumpuan ialah gelagat peniaga di karnival jualan yang akan bermula Khamis dan berakhir Ahad ini dengan pelbagai gaya dalam usaha melariskan jualan serta menarik pengunjung menyemarakkan kitaran ekonomi.
Tidak dilupa, ruang legar di hadapan skrin besar di aras dua pasti sesak dipenuhi ahli, penyokong dan pengunjung terutama kaum wanita dari seluruh negara yang saban tahun tanpa jemu begitu bersemangat menonton perbahasan.
Ramai dijangka ikuti setiap hujah wakil-wakil negeri, bagi mendapatkan informasi berguna khususnya tentang hala tuju perjuangan UMNO pasca Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 dalam depani segala cabaran politik masa depan.
Pada hujung minggu lalu tanpa sebarang publisiti, raptai penuh acara menaikkan bendera Sang Saka Bangsa telah berjaya diadakan di Plaza Merdeka, di bawah pemantauan Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Mohd Sumali Reduan.
Ia dimulakan dengan upacara menaikkan bendera sayap pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri diiringi lagu rasmi masing-masing sebelum disusuli lagu parti iaitu ‘Bersatu, Bersetia, Berkhidmat’ serta pemeriksaan perbarisan.
PAU 2018 julung kali diadakan setelah UMNO hilang kuasa selepas PRU ke-14 dengan menyaksikan Datuk Seri Najib Tun Razak berundur sebagai presiden parti dan digantikan oleh Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Berbeza dengan PAU sebelum ini yang berlangsung selama lima hari, kali ini ia bermula 28 sehingga 30 September dengan anggaran seramai 5,739 perwakilan dijadualkan hadiri perhimpunan tersebut. – Agensi/Mynewshub.TV