Bahang Panas Pertama Direkodkan Di Antartika

SYDNEY – Benua paling sejuk di dunia didapati tidak kebal terhadap peningkatan suhu global selepas ahli sains buat pertama kali mencatatkan kejadian bahang panas di Antartika pada musim panas 2019-2020, lapor Xinhua.

Penyelidik Program Antartika Australia hari ini menyatakan mereka mencatatkan suhu sehingga 9.2 darjah Celsius di stesen Casey timur benua terbabit pada awal tahun ini.

“Gelombang bahang panas diklasifikasikan sebagai bacaan paling maksimum dan paling minimum selama tiga hari,” kata ahli biologi Universiti Wollongong, Dr. Sharon Robinson.

Antara 23 dan 26 Januari, stesen itu merekodkan suhu paling rendah di bawah sifar Celsius dan suhu maksimum 9.2 darjah.

“Menurut rekod Casey, suhu maksimum yang dicatatkan adalah 6.9 darjah Celsius lebih tinggi daripada paras suhu sejuk melampau untuk stesen itu manakala bacaan minimum pula adalah 0.2 darjah lebih tinggi,” kata Robinson.

Ahli sains bimbang kesan positif atau negatif terhadap gelombang bahang panas itu terhadap ekologi Antartika.

“Kebanyakan hidupan yang hidup di kawasan oasis kecil tidak berais di Antartika dan hidupan itu banyak bergantung kepada ais dan ais yang cair untuk bekalan air mereka,” kata ahli ekologi Bahagian Antartika Australia, Dr. Dana Bergstrom.

Menurutnya, banjir ais yang cair boleh menyalurkan air tambahan terhadap ekosistem di situ menggalakkan peningkatan dan pembiakan lumut, kulat, mikrob dan vertebrata.

“Bagaimanapun air yang terlalu banyak boleh menyebabkan tumbuhan ini hanyut dan mengubah komposisi komuniti invertebrata dan hamparan mikrob di tempat terbabit,” katanya.

Dipercayai suhu luar biasa dikaitkan dengan corak pergerakan meteorologi yang berlaku di Hemisfera Selatan ketika musim bunga dan musim panas 2019.

Corak cuaca sebegini turut dipengaruhi oleh pemisahan awal lubang ozon pada lewat 2019 disebabkan pemanasan ketara global di stratosfera, menurut ahli sains atmosfera Antartika Australia, Dr. Andrew Klekociuk.

Klekociuk berkata, usahasama global giat dijalankan bagi memperbaiki dan akhirnya menutup lubang lapisan ozon ini dalam mengubah kembali sistem cuaca.

Loading...