Bahan Nyah Jangkit Disembur Di Palu Elak Wabak

JAKARTA – Pihak berkuasa Indonesia semalam menggunakan helikopter untuk menggugurkan bahan penyahjangkit di sebahagian besar bandar dilanda gempa bumi dan tsunami di Palu, di mana ribuan mayat mereput masih tertimbus bawah tanah.

Gempa magnitud 7.5 diikuti tsunami, membinasakan sebahagian besar bandar di pulau Sulawesi itu pada 28 September lalu. Lebih 2,100 mayat ditemui sejak bencana berganda berkenaan.

Namun ada kebimbangan, lebih 5,000 mayat mangsa mungkin tertanam di bawah runtuhan kejiranan Balaroa, Petobo dan Jono Oge, yang ditelan bumi dalam proses dikenali sebagai pencecairan tanah.

Agensi pencegahan bencana Indonesia mula menyembur kawasan itu semalam bagi menghalang lalat, lipas dan tikus menyebarkan penyakit.

Jurucakap agensi berkenaan, Sutopo Purwo Nugroho dalam satu kenyataan berkata, semburan itu penting berikutan ‘jumlah kematian tinggi dipercayai tertimbus di bawah runtuhan.’

Taman dan tugu akhirnya dirancang dibina di lokasi itu bagi mengingati ribuan mangsa yang maut dan tidak akan ditemui. – AFP

Loading...