Friday, March 29, 2024

Creating liberating content

“Saya Tidak Ada Perasaan...

PENGARAH, Datuk Yusof Haslam mengakui tidak simpan sebarang dendam terhadap Datuk Farid Kamil...

Aktiviti Pelacuran Bawah Pokok...

ISKANDAR PUTERI - Beralaskan tikar serta berbumbungkan bulan dan bintang. Itu sudah cukup...

Keputusan PRK P.Pauh Tunjuk...

PERMATANG PAUH - Keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh menunjukkan simptom positif...

Tuntutan Cukai Input GST...

KUALA LUMPUR - Tuntutan pembayaran balik cukai input bagi Cukai Barangan dan Perkhidmatan...

“Bagai Condong Menongkat, Bagai Rebah Menegak”

SULTAN Abdullah Sultan Ahmad Shah yang dimasyhurkan sebagai Sultan Pahang keenam bertitah untuk terus mengutamakan kepentingan rakyat sepanjang pemerintahan baginda.

Sultan Abdullah yang mewarisi taktha daripada Sultan Ahmad Shah Sultan Abu Bakar berikrar untuk meneruskan legasi pemerintahan yang selama ini dekat di hati rakyat dan sentiasa menjaga kepentingan mereka terutama apabila dilanda musibah.

“Saya ini tidak ubah ‘bagai condong yang akan menongkat, bagai rebah yang akan menegak.’ Kepada sayalah tempat sekalian rakyat menumpang teduh apabila dilanda musibah, dan menumpang kasih apabila berduka.

“Legasi pemerintahan Paduka Ayahanda yang berpaksikan kepada kata keramat ‘Raja dan rakyat berpisah tiada’, ‘Raja dan rakyat sehati sejiwa’ akan terus saya jadikan sebagai cogan utama pemerintahan saya,” titah baginda dalam Istiadat Pemasyhuran Sultan Pahang keenam yang diadakan di Balairung Seri Istana Abu Bakar di Pekan hari ini.

Baginda turut menyeru semua kepimpinan negeri di setiap peringkat supaya menjalankan tugas dengan penuh amanah, bertanggungjawab serta menjunjung sifat ketakwaan, sambil mengingatkan bahawa hanya pemimpin yang bertakwa sahaja yang akan menginsafi bahawa setiap perbuatan dan keputusan mereka bakal dihitung di akhirat.

“Sesungguhnya, kekuatan sebuah negeri adalah kerana raja pemerintah, manakala kekuatan raja pemerintah terletak kepada kerajaan dan rakyatnya.

“Kerana itu, pepatah Melayu lama ada berpesan: “Kuat berdiri pohon kerana akarnya, kuat akar kerana tanahnya,” titah baginda.

Turut berangkat pada istiadat itu ialah Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah; Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah, Tengku Arif Temenggong Tengku Fahd Muadzam Shah, dan putera puteri baginda.

Pada istiadat itu, Sultan Abdullah menerima watikah Pemasyhuran Pelantikan Raja daripada adinda baginda Tengku Muda Pahang yang turut membaca Pengisytiharan Pelantikan Raja di bawah Perkara 9A Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Pahang (Bahagian Pertama).

Sultan Abdullah bertitah bahawa baginda merasa amat kerdil dan insaf apabila dipertanggungjawabkan mewarisi takhta negeri Pahang daripada ayahanda baginda, Sultan Ahmad Shah.


“Baginda merupakan seorang raja pemerintah yang adil, berbudi luhur bukan kepalang dan dikasihi serta disanjungi oleh setiap lapisan rakyat jelata. Legasi pemerintahan paduka ayahanda tiada bandingannya. Ia akan terpahat segar dalam lipatan sejarah,” titah baginda.

Dalam masa yang sama Sultan Abdullah turut mengenang jasa yang disumbang Almarhum bonda baginda Tengku Ampuan Afzan Tengku Muhammad.

“Baginda sentiasa cekal hati mendidik saya dengan penuh kasih sayang, tiada kedengaran sepatah keluhan, dan tiada kelihatan setitip kemarahan. Bonda adalah ratu dan permata hati yang hilangnya sukar dicari ganti,” titah baginda.

Sehubungan itu baginda meminta semua rakyat Pahang memanjatkan doa kepada roh Almarhum bonda baginda serta mendoakan agar ayahanda baginda sentiasa dikurniakan kesihatan terbaik.

Sultan Abdullah turut merakamkan penghargaan kepada Sultanah Pahang Sultanah Kalsom, paduka-paduka kekanda dan adinda, serta kaum keluarga yang telah menjaga Sultan Ahmad Shah selama ini.

Titah penghargaan turut diberikan kepada Tengku Muda Pahang, Tengku Arif Temenggong Pahang, paduka-paduka kekanda dan adinda, serta Jumaah Pangkuan Diraja negeri Pahang yang telah memberikan kepercayaan untuk melantik dan memasyhurkan baginda sebagai Sultan Pahang keenam.

Sultan Abdullah turut merakamkan penghargaan kepada Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang Datuk Seri Sallehuddin Ishak dan kerajaan negeri Pahang atas khidmat bakti mereka bagi menjamin kemakmuran dan kesejahteraan Pahang. – BERNAMA

Kategori