Baca Yasin Sempena Hari Keputeraan Sultan Perak

KUALA KANGSAR – Lebih 1,000 orang menghadiri majlis kesyukuran dan doa selamat sempena Hari Keputeraan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah ke-62, hari ini.

Turut berangkat ke majlis yang diadakan di Masjid Ubudiah di sini adalah Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja DiHilir Perak Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah. Hadir sama Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu serta beberapa Anggota Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco).

Majlis dimulakan dengan bacaan surah Yasin dan tahlil diketuai Timbalan Mufti negeri Perak Zambri Hashim sebelum baginda berdua serta jemaah bersama-sama menunaikan solat Jumaat yang diimamkan oleh Imam Masjid Ubudiah Syed Mohamad Hazwan Syed Azman.

Sempena Hari Keputeraan Sultan Nazrin, bangunan pejabat dan perniagaan disaran memasang lampu sehingga pukul 12 tengah malam pada malam ini dan esok.

Sementara itu, Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran dan Pingat Negeri Perak akan diadakan dalam dua sesi dengan yang pertama pada Ahad ini, manakala sesi kedua pada 10 Nov di Istana Iskandariah di sini.

Pada tahun ini, Sultan Nazrin berkenaan mengurniakan Darjah Kebesaran dan Pingat Negeri Perak kepada seramai 285 penerima. – BERNAMA

Loading...