Azwanddin Disaman RM20 Juta

KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri Pertahanan Senator Liew Chin Tong memfailkan saman fitnah RM20 juta terhadap Presiden Pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia (JMM) Datuk Azwanddin Hamzah berhubung penerbitan dua artikel berkenaan isu pakaian seragam komunis.

Liew memfailkan saman itu menerusi firma guaman Tetuan Karpal Singh & Co di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur pada 27 Dis lepas.

Liew dalam samannya menuntut daripada Azwanddin antaranya ganti rugi am, ganti rugi teladan berjumlah RM20 juta dan injunksi bagi menghalang presiden JMM itu daripada terus menerbitkan artikel sama.

Menurut kenyataan Pengerusi Biro Undang-Undang DAP RamKarpal Singh hari ini, Mahkamah Tinggi menetapkan 29 Jan ini untuk pengurusan kes saman itu.

Ramkarpal berkata, Azwanddin menyiarkan artikel berkenaan yang bertajuk “Kementerian Pertahanan Kini Berada Dalam Tekanan Dan Ancaman,” dengan keterangan bergambar di laman Facebook miliknya pada 30 Okt lepas dan di laman web JMM pada 19 Nov. – BERNAMA