Azmin ‘Sindir’ Mahathir Fitnah Mufti Isu Memali

BIMBANG ucapan Tun Dr. Mahathir Mohamad perlekeh mufti dalam isu tragedi Memali dikecam umat Islam, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bidas individu fitnah mufti untuk kepentingan politik.

Timbalan Presiden PKR itu dalam akaun sosial Twitter miliknya berkata, tindakan berkenaan termasuk cuba untuk merendah-rendahkan atau memalukan mana-mana mufti di negara ini yang disifatkannya sebagai tidak wajar.

Beliau namun tidak menamakan individu terbabit tetapi menulis kicauan itu beberapa jam selepas Mahathir dengan angkuh menyalahkan mufti kerana tidak menegur ‘Amanat Haji Hadi’ yang didakwa menjadi punca tragedi Memali.

“Tidak wajar mana-mana individu mempersendakan dan memperlekehkan mufti kerana kepentingan politik. Kita boleh berbeza pandangan tapi jangan aibkan orang lain. Memfitnah mufti adalah satu tindakan keterlaluan.

“Taubat nasuha. Hentikan sandiwara,” kata Azmin dalam mesej Twitter itu. Ramai netizen menyifatkan ia merujuk ucapan penggulungan Mahathir, 92, pada perhimpunan agung tahunan PPBM di Shah Alam, Selangor semalam.

Baca: PAS Desak Tubuh RCI Insiden Memali Era Mahathir

Pengerusi PPBM dan Pakatan Harapan yang belum didaftarkan sah itu konon berkata, mufti sepatutnya menegur amanat terkenal yang pernah dikeluarkan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada 1981 lalu.

Ia didakwa Mahathir mendorong penyokong PAS menentang UMNO dan Barisan Nasional dengan keganasan seperti peristiwa Memali pada 1985 ketika beliau menjadi perdana menteri yang menyaksikan 18 nyawa terbunuh.

“Saya ingin bertanya balik kepada mufti yang menjadi Penasihat Raja, apabila PAS mendakwa bahawa orang yang tidak menyertai mereka adalah kafir, kenapa mufti hanya diam dan berani tidak menyangkal kenyataan itu?

“Inilah hasil fatwa dikeluarkan orang politik yang tidak ditangkis oleh mufti,” kata Mahathir ketika imbau tragedi berdarah di Kampung Memali, Baling, Kedah pada 19 November 1985 itu dan turut dikritik ramai netizen tempatan.

PAS pernah meminta Suruhanjaya Siasatan Diraja diwujudkan demi keadilan mangsa yang dibunuh ketika polis mahu menangkap seorang guru agama, Ustaz Ibrahim Mahmud atau Ibrahim Libya. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

Loading...