Azmin Kritik JPP PKR

KUALA SELANGOR – Isu penambahan jumlah pengundi tidak berdaftar dalam pemilihan cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Julau di Sarawak boleh menjahanamkan parti itu.

Calon Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang berkata demikian mahu Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) bertindak segera menyelesaikan isu tersebut.

“Masalah ini boleh menjahanamkan parti. PKR berkata tentang reformasi dan tegur Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 sebelum ini.

“Setiausaha Agung PKR (Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail) perlu mengambil serius perkara ini,” katanya ketika ditemui pemberita pada program Taklimat Pembangunan Selangor hari ini.

Ketua Penerangan PKR Sarawak, Vernon Kedit sebelum ini membuat laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung peningkatan mendadak ahli PKR di Julau daripada 600 kepada 13,000 orang.

Seorang lagi calon jawatan Timbalan Presiden PKR ialah Rafizi Ramli yang juga bekas Ahli Parlimen Pandan. – Mynewshub.tv