Azmin Disaman Tak Bayar Bil Pelancongan RM300,000

PETALING JAYA – Sebuah agensi pelancongan mengheret Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin Ali ke mahkamah atas dakwaan gagal membayar bil pelancongan lebih RM300,000 yang termasuk lawatan peribadi keluarganya dan dirinya ke Sandakan pada pilihan raya kecil kerusi Parlimen itu Mei lalu, menurut Sarawak Report.

Laman web itu memetik dokumen difailkan YHA Travel & Tours dan jumlah itu termasuk tambang penerbangan Azmin dalam tempoh enam bulan.

“Walaupun plaintif dan/atau wakilnya berulang kali menuntut bayaran daripada defendan dan/atau wakilnya, jumlah terkumpul itu tidak pernah dibayar walaupun jumlah didakwa itu tidak pernah dipertikaikan,” kata agensi pelancongan itu dalam writ saman yang dipetik Sarawak Report.

Difahamkan, pengurusan kes bagi saman itu ditetapkan pada 3 Disember ini di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Jurucakap YHA Travel ketika dihubungi enggan mengesahkan laporan itu.

Menurut Sarawak Report, syarikat itu menuntut Azmin membayar RM328,901 tambahan kepada faedah dan ganti rugi lain yang dinilai.

Katanya, Azmin ialah pelanggan agensi itu kira-kira 20 tahun dan beliau membuat bayaran tepat pada masa melalui seorang wakil.

“Bagaimanapun, kali ini bayaran tertunggak lebih lama daripada dahulu.”

Sementara itu, Sarawak Report mempertikaikan bil sebanyak RM300,000 dengan berkata, Azmin yang juga timbalan presiden PKR sudah mengisytiharkan gajinya RM50,000 sebulan.

“Dalam keadaan itu, sukar untuk memahami bagaimana beliau boleh berhutang jumlah begitu banyak dan membayarnya – kebanyakan penerbangan itu untuk ahli keluarga, yang menaiki kelas perniagaan.”

Ia mendakwa jumlah itu termasuk RM92,280 bagi penerbangan untuk anaknya yang baru berkahwin, Mohamed Ameer Shazrin dan isterinya, Mazreen Shanim Shaheen ketika mereka melancong ke Marrakech, London dan Geneva.

Sarawak Report turut menyiarkan beberapa gambar yang didakwanya dimuat naik anak Azmin di Facebook menunjukkan saat-saat mereka melancong, tetapi kini ia sudah dipadamkan. – FMT

Loading...