Aziz Pilih Menetap Di Malaysia Demi Muzik

MINAT mendalam terhadap muzik yang dimiliki penyanyi asal Brunei Darussalam, Aziz Harun, membuatnya terpaksa memujuk ibu bapanya supaya mengizinkan dia berhijrah ke Malaysia.

Sejurus tamat pengajian A Level, penyanyi berusia 20 tahun itu meminta untuk menetap dan melanjutkan pelajarannya di negara ini bagi memudahkan perjalanan kariernya dalam industri muzik.

Jelasnya, mengikut perancangan awal, dia sepatutunya melanjutkan pengajian tingginya di United Kingdom dalam bidang ekonomi, namun memilih untuk ke Kuala Lumpur bagi memperkukuh namanya dalam bidang seni tanah air.

Aziz, yang sebelum ini bersekolah di Sekolah Antarabangsa Jerudong di Brunei, memberitahu bahawa serta akan menyambung pengajian di sebuah kolej di Petaling Jaya, September depan dan sudah lima bulan menetap di ibu kota.

“Saya harus menunaikan janji dengan kedua-dua orang tua. Jadi, saya pilih meneruskan pengajian di negara ini untuk memudahkan urusan kerjaya seni dan pelajaran.

“Saya akan memulakan pengajian pada September ini dalam bidang Pengurusan Ekonomi,” katanya memetik BH Online.

Dia yang mula dikenali dengan lagu Senyum hasil gubahan komposer terkenal Faizal Tahir dan Mike Chan kira-kira tiga tahun lalu mengakui terkejut apabila mendapat tahu namanya dikenali di negara ini.

Ujarnya, dia hanya menyedari lagu nyanyiannya menjadi siulan ramai di sini apabila mengikuti siri jelajah bersama syarikat label Warner Music, tahun lalu.

“Saya terkejut apabila membuat persembahan, peminat turut bersama-sama menyanyikan lagu Senyum. Saya tidak sangka lagu itu sebenarnya popular,” jelasnya.

Walaupun sudah beberapa tahun lagu itu dikeluarkan, juara program Bintang Kecil 2009 itu berkata bahawa dia tidak menyedari namanya dikenali kerana jarang berada di Malaysia ketika itu.

Menurut Aziz, dia hanya sesekali ke Kuala Lumpur bagi menjayakan proses rakaman dan promosi lagu pada waktu itu memandangkan dia menetap di Brunei bagi menghabiskan persekolahannya.

Tambahnya, platform yang dimilikinya sekarang akan digunakan sebaik mungkin bagi memperkukuh namanya dalam industri seni suara negara.

“Selepas mendapat tahu lagu nyanyian saya diterima ramai, saya tidak mahu membuang masa lagi. Sebelum ini, ramai yang menganggap saya tenggelam timbul, sedangkan saya bergelut dengan pengajian di Brunei.

“Saya nekad bercuti setahun daripada pengajian kerana mahu memberikan tumpuan kepada promosi lagu terbaru, Jangan ciptaan bersama Faizal Tahir, Ezra Kong, Mike Chan dan Romeo,” tuturnya.

Video muzik Jangan nyanyian Aziz telah dimuat naik ke laman YouTube sejak September tahun lalu dan kini telah ditonton hampir dua juta kali oleh pelayar laman sosial berkenaan. – MYNEWSHUB.CC/EZ

Loading...