Azis Sangkal Dakwaan PH Keluarkan PSS Secara Mendadak

KUALA LUMPUR – Tuduhan Tan Sri Joseph Pairin Kitingan yang mendakwa Pas Residen Sementara Sabah (PSS) diadakan secara mendadak oleh Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan kerajaan negeri Warisan Sabah adalah tidak benar sama sekali.

Maklumat lengkap minit mesyuarat semuanya sudah didedahkan dan sudah dijawab dalam sesi pengulungan perbahasan di Dewan Negara semalam dan berkemungkinan Pairin sudah lupa.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman berkata, pada 16 Mei 2016, Mesyuarat Jawatankuasa Induk Pengurusan Warga Asing yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Musa Aman mengambil maklum tentang penambahbaikan pelaksanaan PSS.

Antara penambahbaikan pelaksanaan PRS ialah menukar nama Pas Residen Sabah kepada PSS dan sekali lagi objektifnya untuk menyelesaikan masalah kepelbagaian dokumen pengenalan diri warga asing di Sabah.

“Jadi, apa lagi yang ingin dinafikan oleh Tan Sri Pairin, apakah beliau sudah lupa butiran perbincang berlaku dalam mesyuarat yang dipengerusikan beliau sendiri.

“Saya ingin mengingatkan kembali kepada Tan Sri Pairin Kitingan sekiranya beliau tidak dapat ingat apa yang dibincangkan semasa mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Warga Asing yang dipengerusikannya sendiri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam perkembangan tersebut Ahli Parlimen Sepanggar itu turut menyentuh tentang saranan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI), serta saranan RCI yang meminta supaya dibentuk Jawatankuasa Tetap Mengenai Warga Asing atau Jawatankuasa pengurusan warga asing Induk (JKPWAS-INDUK) yang dipengerusikan secara bersama oleh Ketua Menteri Sabah dan Menteri Dalam Negeri dan jawatankuasa kerja atau lebih dikenali sebagai Jawatankuasa Warga Asing Teknikal (JKPWAS – Teknikal) ketika JKPWAS Teknikal bermesyuarat pada 12 Mei 2015 dipengerusikan sendiri oleh Joseph.

Menurut beliau, mesyuarat itu telah mengambil maklum cadangan pengurusan menangani Isu Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) daripada MKN antaranya Pelaksanaan Pas Residen Sabah dipercepatkan bagi mengelak risiko pemalsuan dokumen.

“Melalui ketetapan mesyuarat JKPWAS Teknikal itu maka diangkat ke peringkat Jawatankuasa Induk Pengurusan Warga Asing pada 31 Julai 2015 yang dipengerusikan secara bersama oleh Zahid  ketika itu dan Ketua Menteri Sabah (masa itu Tan Sri Musa Aman).

“Dalam mesyuarat itu telah dipersetujui antaranya “PAS RESIDEN” diberikan kepada pemegang-pemegang dokumen IMM13, Kad Burung-Burung dan Sijil Banci.

“Mesyuarat itu juga menegaskan agar Prosedur Operasi Standard (SOP) permohonan Pass Residen yang disediakan perlu mengambil kira pelbagai aspek termasuk keselamatan dan keupayaan pemohon dan jawatankuasa khas ditubuhkan yang sekarang ini dikenali sebagai TaskForce untuk meneliti keseluruhan aspek bagi cadangan pemerluasan pas residen yang diketuai oleh KSU KDN dan SKN Sabah,” tegasnya. – MalaysiaGazette

Loading...