Azhar Harun Mohon Maaf Kepada Pengundi Kelantan

KUALA LUMPUR – Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun memohon maaf kepada pengundi Kelantan atas kenyataannya sebelum ini yang didakwa mengguris hari rakyat negeri itu.

Beliau yang dikenali sebagai Art Harun berkata, beliau akan terus berkhidmat mengikut lunas undang-undang untuk memastikan urusan pilihan raya berjalan dengan adil.


“Saya selaku Pengerusi SPR dengan rendah hati memohon maaf kepada pengundi Kelantan berhubung kenyataan yang disiarkan oleh pihak media berkaitan dengan isu melibatkan pengundi di luar Kelantan.


“Saya akan memberikan perkhidmatan mengikut peruntukan undang-undang bagi memastikan urusan pilihan raya dilaksanakan dengan bersih, telus, adil dan berintegriti,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Bulan lalu, Azhar dilaporkan berkata, pendaftaran pengundi secara automatik pada pilihan raya akan datang sukar dibuat kerana Perlembagaan Persekutuan membenarkan seseorang mengundi di tempat dia mendaftar sebagai pengundi walaupun tinggal di tempat lain.

Kata beliau, disebabkan perkara itu, seramai 60,000 orang Kelantan balik ke negeri itu untuk mengundi menyokong hudud sedangkan pada masa-masa lain mereka berada di Kuala Lumpur dan pergi ke kelab malam.

Kenyataan itu dibidas Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob yang menyifatkan ia sebagai satu penghinaan kepada seluruh rakyat Kelantan. – UTUSAN ONLINE

Loading...