Azhar Akui Ditipu, Tak Dapat Biasiswa NASA

PENUNTUT Malaysia, Azhar Ali, 20, yang tular di media sosial semalam susulan hantaran dimuat naik berhubung kejayaannya memperoleh biasiswa daripada National Aeronautics and Space Administration (NASA) di Amerika Syarikat tampil mengakui dirinya ditipu.

Menerusi hantaran terbaru hari ini, Azhar menjelaskan, muat naik berhubung kejayaannya di laman Twitter sebelum ini dibuat sebelum dia menyedari emel yang diterima itu adalah suatu penipuan.

“Pada 20 Mac, saya mengambil bahagian dalam pertandingan reka bentuk sut NASA bagi kategori gred sembilan hingga 12 dan mengharapkan berita baik selepas dua minggu.

“Dua minggu berikutnya, saya menerima emel mengatakan saya tersenarai dalam kalangan satu peratus terbaik bagi pertandingan itu menyebabkan saya terus kongsikan berita ini dengan rakan-rakan.

“Dua perkara berlaku selepas itu. Selain ramai mengucapkan tahniah kepada saya, terdapat juga segelintir individu memeriksa kesahihan kejayaan saya,” katanya menerusi ciapan di laman Twitter miliknya, hari ini.

Menjelas lanjut, Azhar berkata, emel diterima hanya mempunyai lampiran dan pautan ke portal yang membolehkannya memilih gambar sendiri untuk pengiktirafan terbabit.

Mengambil gambar pautan itu yang disertai gambarnya sebelum berkongsi di laman Twitter, Azhar mengakui teruja dengan berita yang diterima.

Azhar bagaimanapun berkata, dia kemudian menerima emel daripada National University of Singapore (NSU) berhubung perkara sama namun emel itu agak samar-samar disebabkan ia didapati tanpa ‘domain’ universiti terbabit.

“Saya sudah memaklumkan perkara ini kepada NUS baru-baru ini serta melaporkan isu sama kepada NASA di laman web rasmi mereka,” jelasnya.

Menurut Azhar, di kesempatan ini, dia meminta semua pihak menghentikan sebarang kenyataan tidak benar berhubung isu berkenaan.

“Saya seorang penuntut yang sedang menggapai kemuncak karier saya. Saya menerima tawaran daripada beberapa institusi luar negara dan memohon rakyat Malaysia tidak menjejaskan masa depan saya dalam ketidaktentuan ini.

“Apa yang boleh kita termasuk saya pelajari daripada perkara ini adalah kita perlu sentiasa memeriksa kesahihan sebelum berkongsi sebarang maklumat dengan orang ramai.

“Saya tidak akan memohon maaf ketika menjadi mangsa penipuan. Saya kesal kerana ramai individu yang tidak begitu dikenali seperti saya yang terpalit dengan penipuan sebegini, berisiko untuk berdepan kehilangan wang dan maruah,” katanya.

Azhar menerusi akaun Twitternya semalam memuat naik status bersyukur kerana tidak menyangka akan mendapat tawaran biasiswa NASA sebagai ganjaran selepas menyertai cabaran reka cipta sut angkasa lepas bagi misi Artemis pada 2024.

Daripada lebih tiga juta peserta yang mereka cipta sut angkasa untuk program Artemis itu, rekaan Azhar dilaporkan memperoleh markah setinggi 96.77 peratus dengan kriteria merangkumi aspek kos, ujian lapangan serta logik serta konsisten.

Hantarannya dibanjiri ucapan tahniah termasuk Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin yang mengulang kicau hantarannya dengan mesej tahniah dan bangga.

Bagaimanapun, hantaran Azhar mula mendapat pertikaian beberapa pihak selepas mereka mendapati nama Azhar tiada dalam rekod laman web NASA.

Malah beberapa pihak mula mempersoalkan bagaimana Azhar boleh menyertai pertandingan itu sedangkan syarat pertandingan terbabit dikatakan hanya dibuka kepada penduduk tetap atau warga Amerika Syarikat saja.

Susulan penjelasan terbaru Azhar, Khairy dilihat turut mengulang kicau muat naik Azhar itu dan berharap Azhar tidak berputus asa untuk terus mengejar kejayaan.

“Ya, ini adalah satu pengajaran untuk kita semua (termasuk saya) dalam memeriksa kesahihan sebelum berkongsi di alam maya.

“Pujian yang anda peroleh daripada orang ramai adalah berasaskan keinginan untuk melihat anak muda Malaysia berjaya. Jangan putus asa. Teruskan menggapai bintang walau apa pun diperkatakan orang,” kata Khairy dalam ulang kicau beliau. – myMetro Online