Azam Tekad Beri Khidmat Terbaik, Negara Bebas Rasuah

KUALA LUMPUR – Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) yang baharu, Datuk Seri Azam Baki bertekad memberi perkhidmatan yang terbaik dan memastikan negara ini bebas daripada rasuah.

Beliau yang berpengalaman kira-kira 35 tahun dalam SPRM menganggap pelantikannya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM adalah satu tugas yang berat dan mencabar.

“Saya akan cuba yang terbaik untuk memikul amanah yang diberikan ini berdasarkan pengalaman saya untuk mencegah rasuah dengan lebih berkesan,” katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berazam untuk memastikan SPRM memainkan peranannya dalam membantu negara ini untuk menjana ekonomi dan mengurangkan ketirisan.

Azam berharap kesemua warga SPRM dan rakyat di negara ini memberi sokongan dalam membantu SPRM untuk mencegah rasuah.

Dalam pada itu, Azam dalam kenyataan, menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di atas perkenan Seri Paduka melantiknya ke jawatan berkenaan.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang telah mencadangkan nama saya kepada Seri Paduka.

“Selain itu, saya mewakili seluruh warga SPRM mengucapkan terima kasih atas sumbangan dan jasa Latheefa Koya sepanjang tempoh beliau memegang jawatan sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang ke-14 kerana telah berjaya memimpin SPRM dengan baik dan cemerlang,” katanya.

Beliau merupakan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM sebelum ini.

Azam, 57, memulakan kariernya di Badan Pencegah Rasuah (BPR) pada tahun 1984 sebagai Penolong Pegawai Siasatan.

Sejak memasuki perkhidmatan BPR ketika itu, beliau telah menjalankan tugas sebagai pegawai penyiasat, pegawai perisikan, pegawai pendakwaan serta menjalankan tugas sampingan dalam aktiviti pendidikan masyarakat.

Beliau yang mempunyai kelulusan Diploma Kejuruteraan Elektrik (Kuasa) daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Ijazah Undang-undang (Jurispruden) daripada Universiti Malaya dan Sarjana daripada Asia E-University, telah berkhidmat melebihi 35 tahun.

Pengalaman luasnya turut menyaksikan beliau menyandang jawatan penting seperti Pengarah Perisikan (2013), Pengarah Siasatan (2015) dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) (2016).

Sepanjang kerjayanya, beliau berpengalaman luas dalam penyiasatan kes-kes berprofil tinggi termasuk 1MDB dan SRC International.

Beliau turut memainkan peranan penting dalam membongkar kes ‘lesen terbang’ pada tahun 2000 apabila beliau merupakan perancang siasatan kes berkenaan dengan kejayaan lebih 100 individu ditangkap serta 100,000 ‘lesen terbang’ telah disenarai hitam.

Impaknya, kerajaan telah menambah baik sistem ujian lesen memandu percubaan secara manual ke sistem berkomputer seperti yang ada sekarang.

Loading...