Awie Mengaku Salah Cederakan Bekas Isteri, Didenda RM2,000

PELAKON dan vokalis kumpulan Wing, Awie hari ini mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas pertuduhan mencederakan bekas isterinya, Rozana Misbun, dua tahun lalu.

Susulan itu, Majistret Husna Dzulkifly telah menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM2,000 atau dua bulan penjara sekiranya selebriti itu gagal membayar denda berkenaan.

100220ma3xk3igvxu2xvhu

Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 48, dilaporkan melakukan kesalahan itu  di kaunter Permodalan Nasional Berhad (PNB) Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur kira-kira jam 3 petang, pada 2 Jun 2014.

Atas kesalahan itu, Awie boleh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Hazman Harun yang mewakili Awie memberitahu mahkamah, anak guamnya insaf dengan kejadian itu dan tindakan itu tidak disengajakan.

Jelasnya, Awie bertindak demikian gara-gara kecewa wang miliknya yang diamanahkan kepada Rozana untuk kegunaan masa depan anak-anak lesap daripada akaun simpanan Amanah Saham Bumiputera (ASB).

Dalam pada itu, Rozana menberitahu pihak mahkamah dia masih berasa trauma dengan insiden itu dan berharap Awie mendapat hukuman yang memberi pengajaran kepadanya.

Pada 15 Februari lepas, Awie yang juga bapa kepada lima anak itu mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan mendatangkan kecederaan terhadap Rozana, 38.

Manakala, 7 Mac lalu, Mahkamah Majistret Ampang membebaskan Awie daripada pertuduhan mencederakan Rozana di sebuah rumah di Taman Ukay Bistari, Ukay Perdana, Hulu Kelang.

Ia selepas mereka bersetuju kes itu diselesaikan dengan cara membayar kompaun RM10,000 dan permohonan maaf secara terbuka daripada pihak Awie. – MYNEWSHUB.CC