Awie Korban Cita-Cita Politik Kerana Kerjaya Seni

MELIHAT kepada kemeriahan suasana menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Rabu ini, penyanyi, Datuk Azhar Othman atau Awie, membuatkan dia mengimbau kembali kenangan lama.

Jelas Awie, dia pernah terlibat dalam segala kerja berkaitan pilihan raya umum termasuklah memasang bendera parti, membantu jentera kempen serta menjadi pemerhati pada hari mengundi.

Kerja-kerja tersebut pernah dilakukan Awie ketika membesar apabila didedahkan dengan dunia politik oleh ayahnya sejak usia yang muda.

“Saya didedahkan dengan dunia politik kerana ayah aktif berpolitik. Sebut apa saja sepanjang musim pilihan raya, semua kerja saya pernah buat.

“Daripada mengambil upah pasang bendera, tolong orang berkempen dan jadi pemerhati ketika hari mengundi. Semua itu adalah pengalaman yang membuka mata saya,” katanya dipetik BH Online.

Awie, yang merupakan vokalis kumpulan Wings berkata, disebabkan terdedah dengan dunia politik sejak kecil, beliau sendiri juga mempunyai kecenderungan untuk terlibat dalam bidang itu.

Malah, Awie mendedahkan bahawa beliau pernah ditawarkan jawatan dalam sebuah parti politik suatu ketika dahulu.

Namun begitu, Awie mengambil keputusan untuk menolak tawaran tersebut selepas berbincang dengan ayahnya sendiri.

“Beberapa tahun lalu, ada pihak menawarkan saya menjadi Ketua Pemuda Bahagian dan ketika itu, saya agak berminat.

“Tetapi selepas mendapat nasihat ayah, saya batalkan niat itu. Ayah beritahu, jika sayangkan kerjaya dan Wings, baik lupakan saja tawaran itu.

“Ayah berpesan, peminat kamu mesti ada yang berbeza fahaman politik, jadi usah cari musuh,” jelasnya.

Memetik laporan myMetro Online pula, Awie meminta orang ramai untuk tidak memandang serong kepada golongan artis yang dijemput untuk membuat persembahan ketika kempen PRU14 berlangsung.

Ujarnya, para artis hanya mahu mencari pendapatan dan sekiranya mereka terlibat dengan kempen sesebuah parti, ia tidak bermakna mereka mempunyai kecenderungan terhadap parti tersebut.

“Siapa yang panggil, saya akan pergi kerana saya cari makan. Begitu juga dengan artis lain yang dapat tawaran,” katanya.

Menceritakan perkembangan seninya, Awie memberitahu bahawa beliau akan kembali ke lokasi penggambaran di Selatan Thailand berhampiran Sungai Golok bagi drama bersiri Bila Tuhan Berbisik arahan Raja Mukhriz.

Menurutnya, drama 13 episod itu mengambil latar sebuah sekolah pondok di sebuah perkampungan kecil dan dijangka akan disiarkan di televisyen pada November depan.

Terdahulu, Awie turut mengumumkan bahawa dia dan ahli kumpulan yang lain akan mengadakan majlis Nostalgia Ramadan Bersama Kumpulan Gitar Rancak Wings di Hotel Premiera, Kuala Lumpur pada 26 Mei depan.

Dalam majlis tersebut, kumpulan Wings bakal mendendangkan lagu mereka dari era era 1970-an hinga 1990-an dan merupakan kali kedua mereka mengadakan persembahan di lokasi berkenaan. – MYNEWSHUB.CC/EZ