Awasi Kehadiran Binatang Berbisa Di Musim Tengkujuh

TUMPAT – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dengan kehadiran binatang berbisa khususnya ular yang mungkin ‘menumpang’ di rumah mereka di musim tengkujuh.

Pengarahnya, Nazili Mahmood berkata perubahan cuaca sejak kebelakangan ini menyebabkan binatang seperti ular menyusup masuk untuk mencari tempat perlindungan seperti di dalam rumah ataupun kenderaan.

Beliau berkata sepanjang tahun ini JBPM Kelantan menerima sebanyak 170 panggilan berhubung ular manakala 190 lagi berkaitan haiwan berbisa lain.

Menurutnya pihak jabatan sentiasa bersedia membantu orang ramai yang membuat aduan berkaitan haiwan berbisa ini kerana anggota bomba mempunyai kepakaran serta kemahiran dalam menangkap reptilia berkenaan.

“Minggu lalu seramai 30 anggota dari semua balai bomba seluruh Kelantan menyertai kursus menangkap ular di Ibu Pejabat Bomba di Tunjong, Kota Bharu selama tiga hari.

“Mereka diajar teknik menangkap dan berdepan dengan ular serta mengenalpasti lokasi yang biasanya terdapat binatang berbisa itu,” katanya kepada pemberita di Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Kubor, di sini hari ini.

Terdahulu Nazili merasmikan majlis tamat latihan Kursus Pentauliahan Pegawai Bomba Bantuan (PBB) siri 1/2018.

Dalam majlis berkenaan seramai 82 PBB menamatkan kursus selama 10 hari itu yang merangkumi aspek teori dan fizikal.

Nazili berkata semua PBB itu nanti akan ditempatkan di tiga balai bomba baharu iaitu Balai Bomba Tok Bali (Pasir Puteh), Sungai Durian (Kuala Krai) dan Wakaf Bharu (Tumpat). – BERNAMA

Loading...