‘Atok Miang’ Rakam Aksi Lucah Budak 12 Tahun Didakwa

SEREMBAN – Lelaki warga emas yang melakukan amang seksual terhadap kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun sehingga tular di Facebook dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban hari ini, atas sembilan pertuduhan melakukan perbuatan kelucahan melampau.

V Subramaniam, 65, yang bekerja sebagai pemandu lori tidak mengaku bersalah atas lapan pertuduhan di bawah Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan satu pertuduhan mengikut Seksyen 293 Kanun Keseksaan di hadapan Hakim Junaidah Mohd Isa.

Mengikut dua pertuduhan, tertuduh didakwa menghasilkan dan memiliki video pornografi kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun di dalam telefon bimbit miliknya.

Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa memujuk mangsa dengan menjanjikan untuk membeli pelbagai jenis barangan serta pakaian berniat untuk melakukan amang seksual terhadap mangsa.

Manakala bagi lima pertuduhan lain, dia didakwa melakukan amang seksual, menyuruh mangsa melakukan perbuatan seks terhadapanya dan membiarkan mangsa melihat perbuatan seks dilakukan dirinya sendiri.

Semua perbuatan itu dilakukan di parkir bangunan Kompleks Penjaja Majlis Perbandaran Seremban di sini, kira-kira jam 6 petang antara minggu kedua hingga minggu ketiga Jun lalu.

Sementara itu, Subramaniam turut didakwa atas satu pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 293 Kanun Keseksaan iaitu memiliki bahan lucah di dalam telefon bimbit miliknya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban, jam 2.30 pagi pada 10 Julai lalu.

Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin membantah jaminan diberi kepada tertuduh atas alasan kes dilakukan adalah serius.

“Fakta paling penting, tertuduh kenal mangsa dan ibu bapa mangsa. Jika diberikan jaminan, kemungkinan tertuduh boleh ganggu mereka,” katanya.

Mahkamah tidak membenarkan jaminan dan menetapkan sebutan semula kes pada 21 Ogos ini.

Loading...