ATM Nafi Anggota Dijangkiti Covid-19 Selepas Undi Awal

KUALA LUMPUR – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menafikan dakwaan terdapat jangkitan Covid-19 dalam kalangan warga tentera selepas mencelup jari dengan dakwat ketika proses undian awal Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, kelmarin. 

Bahagian Hal Ehwal Awam-J7 Markas ATM dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, maklumat yang tular di media sosial itu tidak benar dan boleh menimbulkan kekeliruan, kebimbangan masyarakat serta mengganggu proses PRN Sabah.

“Ingin ditegaskan mana-mana individu yang didapati menyebarkan berita palsu boleh didakwa mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998. 

“Orang ramai dinasihatkan tidak mudah terpengaruh dengan sebarang berita yang boleh mencetuskan kebimbangan dalam kalangan masyarakat,” katanya. 

Orang ramai juga diminta mendapatkan maklumat terkini melalui saluran rasmi Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkenaan situasi semasa penularan pandemik Covid-19.

Sebelum ini, tular di media sosial mengenai dakwaan pihak mengatakan terdapat anggota tentera dijangkiti Covid-19 ketika mencelup jari di dakwat. 

Dakwaan itu juga meminta bakal pengundi pada Sabtu ini memastikan menggunakan cecair pembasmi kuman tangan sebelum mencelup dakwat ketika proses pengundian bagi mengelak jangkitan pandemik terbabit. – myMetro Online

Loading...