ATM Mula Tugas Bantu PDRM Laksana PKP

KUALA LUMPUR – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mula diatur gerak bagi membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam memastikan rakyat mematuhi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan bagi membendung wabak COVID-19 hari ini.

Menerusi tinjauan Bernama setakat 3 petang mendapati beberapa anggota ATM kelihatan ditempatkan di beberapa jalan utama sekitar ibu kota termasuk Jalan Sentul Pasar, Manjalara, Jalan Segambut dan Balai Sri Murni, di sini.

Terdahulu, mereka telah diberikan taklimat oleh Ketua Polis Daerah Sentul, ACP S. Shanmugamoorthy Chinniah mengenai penugasan membantu pihak polis dalam sekatan jalan raya selain disediakan sarung tangan serta penutup mulut dan hidung.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang media sebelum ini berkata tentera mula dikerahkan bagi membantu polis melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan pada 12 tengah hari.

Selain itu, menteri kanan itu berkata tentera akan membantu polis di sekatan jalan raya dan rondaan serta di kawasan pasar, pasar raya bagi memantau pematuhan penjarakan sosial.

Penglibatan tentera itu melibatkan ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM akan bekerjasama membantu PDRM memantau dan memastikan orang awam mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan yang dikuat kuasa kerajaan mulai 18 Mac sehingga 31 Mac.

Tinjauan Bernama hari ini di sekitar bandar raya Kuala Lumpur mendapati kadar pematuhan masyarakat terhadap perintah itu semakin meningkat apabila dilihat hanya segelintir sahaja yang masih berada di tempat tumpuan awam.

Jalan raya di sekitar ibu negara hanya kelihatan kelibat teksi, bas awam dan khidmat penghantaran makanan.

Sekatan-sekatan polis turut dijalankan di jalan utama sekitar ibu negara bagi memastikan rakyat mematuhi perintah kawalan itu. 

Dalam pada itu, premis-premis makanan segera juga turut mengamalkan langkah keselamatan iaitu dengan mewajibkan pelanggan mereka menggunakan cecair pembasmi kuman dan mengambil suhu badan sebelum dibenarkan masuk ke dalam premis tersebut.

Loading...