Atlet Boling Pertama Negara Muncul Juara Dunia

TAHNIAH… Jaguh boling negara, Muhammad Rafiq Ismail melakar sejarah apabila muncul juara acara perseorangan lelaki di Kejohanan Boling Lelaki Dunia di Hong Kong, China hari ini.

Pemenang pingat emas Sukan Asia 2018 di Palembang, Indonesia itu malahan mempamerkan aksi cemerlang selepas menewaskan Dan Maclelland dari Kanada dengan 217-204.

Terdahulu pada aksi separuh akhir yang turut berlangsung hari ini, Rafiq menerima tentangan sengit sebelum menewaskan pemain Amerika Syarikat, Kyle Troup 171-170.

Kemenangan itu sekali gus menyaksikan Muhammad Rafiq muncul sebagai atlet pertama negara memenangi acara perseorangan di pentas berprestij itu sejak 1979.

“Saya sendiri tidak sangka dapat menempatkan diri dalam kelompok empat terbaik. Saya sering mengingatkan diri sendiri supaya terus melakukan balingan yang baik.

“Sudah tentu saya berpuas hati dengan prestasi hari ini kerana ia juga pingat pertama saya di Kejohanan Dunia dan paling menarik ia adalah kilauan emas,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Kali terakhir Malaysia memenangi emas adalah menerusi acara trio boling gandingan Allan Hooi, Ed Lim dan J B Koo pada 1979 di Manila, Filipina. – Agensi/Mynewshub.TV

Loading...