Athens Dilanda Gempa Bumi

ATHENS – Gempa bumi kuat dengan 5.1 magnitud di ibu negara Greek telah menjatuhkan rangkaian telefon dan bekalan elektrik di beberapa kawasan bandar itu.

Gegaran dengan kedalaman 22 kilometer di barat laut Athens.

Kejadian itu didakwa berlaku selama 15 saat namun tiada laporan mengenai kecederaan yang serius berlaku.

Namun beberapa kejadian gempa susulan selepas kejadian pertama mengakibatkan dua bangunan runtuh.

Gegaran susulan terkuat dengan 4.3 magnitud berlaku hampir sejam selepas gempa awal melanda pada 14:13 (11:13 GMT).

Pakar Seismologis berkata, ada lebih banyak gegaran berlaku di Athens menyebabkan penduduk berada di atas jalan selepas menyelamatkan diri daripada bangunan tinggi.

Bangunan Parlimen Athens yang berusia 170 tahun dilapor retak manakala dinding pejabat ketua pendakwa raya runtuh.

Perkhidmatan kecemasan juga menerima 76 panggilan susulan beratus-ratus orang terperangkap di dalam lif akibat bekalan elektrik terputus.

Sebuah rumah lama dan bangunan kosong turut dilaporkan musnah, kata media Greek.

Gereja Agia Irini juga mengalami kerosakan.

Ketua Agensi Gempa Bumi, Efthymios Lekkas meminta penduduk bertenang.

Katanya, penduduk tidak perlu khuatir kerana bangunan-bangunan di Athens dibina dengan ketahanan untuk menghadapi gempa bumi.

Gegaran turut dirasai di selatan rantau Peloponnese dengan pusat gempa sekitar 13 kilometer daripada permukaan.

Gempa yang berlaku itu adalah kali pertama selepas September 1999 dan pakar berkata pusat gempa adalah sama di Gunung Parnitha. – Agensi