Atasi Masalah Sawit Sebelum Cadang Tanaman Alternatif

PENEROKA Felda tidak bersetuju dengan saranan kerajaan supaya pekebun mengehadkan peluasan tanaman kelapa sawit, sebaliknya menambah pendapatan mereka dengan menanam tananam alternatif lain.

Peneroka Felda Jengka 23, Pahang, Roslan Md Isa berkata, cadangan itu sangat mengecewakan kerana percaya kelapa sawit sangat berbudi kepada warga peneroka dan kerajaan sepatutnya memberi tumpuan kepada usaha mengatasi masalah dalam industri sawit itu sendiri sebelum mencadangkan supaya pekebun mengambil inisiatif baru untuk menambah pendapatan.

“Kelapa sawit sangat membantu pertumbuhan ekonomi negara sejak sekian lama, sehingga Felda menjadi konglomerat yang ternama. Sepatutnya kerajaan selesaikan harga lantai kelapa sawit supaya nasib peneroka dan pekebun lebih terbela,” katanya kepada FMT.

Semalam, Menteri Industri Utama, Teresa Kok berkata, kerajaan berhasrat untuk melihat pekebun mempunyai lebih daripada satu tanaman sebagai punca pendapatan bagi melawan sentimen anti kelapa sawit di Eropah.

Beliau antara lain menggesa pekebun menanam buluh bagi menambah pendapatan bagi menghadapi kesan negatif sentimen itu ke atas eksport minyak sawit negara ke pasaran dunia, selain memfokuskan kepada tanaman kelapa sawit.

Teresa berkata, buluh, nanas dan kelapa adalah antara cadangan tanaman alternatif kepada pekebun yang hanya bergantung pada tanaman kelapa sawit sebagai sumber pendapatan.

Peneroka, Roslan Md Isa berkata, kerajaan perlu selesaikan isu harga lantai kelapa sawit supaya nasib pekebun lebih terbela.

Roslan berkata, cadangan Teresa supaya pekebun menanam buluh bagi menambah sumber pendapatan seolah-olah mempermainkan peneroka dan pekebun kelapa sawit, selain tidak membantu mengatasi masalah semasa yang dihadapi oleh golongan itu.

“Ramai (peneroka) beranggapan cadangan itu mengarut,” katanya.

Seorang lagi peneroka dari Felda Jengka 6 di Pahang, Mohamad Razali Ithnain berkata, cadangan itu menampakkan ketidakyakinan kerajaan terhadap pekebun serta peranan dan sumbangan industri minyak sawit selama ini.

Beliau berkata, sejak sekian lama kelapa sawit merupakan hasil komoditi utama negara sehingga Malaysia muncul sebagai salah satu negara pengeluar utama minyak sawit dunia.

Beliau berkata, Thailand adalah jauh lebih membangun dalam industri buluh dan sekiranya cadangan itu mahu diikuti, Malaysia hanya mengambil risiko yang tidak perlu dengan menjadi pesaing kepada negara itu dalam keadaan pekebun bukan sahaja berhadapan masalah semasa, tetapi juga tidak bersedia untuk memasuki satu industri baru.

“Kita tidak seharusnya mengambil risiko untuk menjadi pesaing kepada Thailand yang sudah jauh ke depan dalam industri buluh,” katanya.

Razali berkata, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) telah menghasilkan banyak penyelidikan tentang tanaman integrasi sawit seperti getah, pisang, nanas, kacang tanah, jagung dan tembikai.

Beliau berkata, tanaman lain itu dilihat sebagai alternatif yang lebih meyakinkan dibandingkan dengan buluh.

Beliau juga berkata, minyak sawit adalah bahan sokongan kepada petroleum dan pengganti kepada minyak sayuran lain, justeru kerajaan seharusnya mengambil daya usaha mempelbagaikan pengunaannya, bukan mengambil jalan mudah menukar tanaman komoditi itu dengan tanaman yang tidak pasti kesesuaiannya.

“Harga tidak menentu komoditi sawit adalah disebabkan faktor persaingan dengan minyak sayuran lain, maka kerajaan melalui MPOB dan badan berkaitan seharusnya mempertingkatkan usaha untuk mempelbagaikan penggunaan minyak sawit dalam negara,” katanya.

Presiden Persatuan Buluh Malaysia, Ahmad Mazlan Othman berkata, dalam keadaan sedia ada cadangan kerajaan itu agak sukar dilaksanakan kerana tanaman buluh di negara ini tidak terurus.

Beliau berkata, kebanyakan tanaman buluh berada jauh di dalam hutan dan sukar untuk dikumpul.

“Perlu belanja besar untuk bawa keluar. Selain itu ia tidak diurus dan dikawal penanamannya. Ada yang bengkok dan ada yang tebal menjadikannya tidak sesuai untuk digunakan dalam industri seperti pembinaan misalnya,” kata beliau.

Bagaimanapun kata beliau, sekiranya kerajaan benar-benar serius, tanaman buluh boleh dikembangkan sebagai tanaman ladang yang diselia dan dibangunkan sebaiknya. – FMT

Loading...