AS Mula Langkah Baharu Saingi China Di Pasifik

EKORAN pengaruh China yang kini sampai dan mengukuh di hampir semua negara kecil Lautan Pasifik, negara-negara Barat mula melaksanakan langkah mengimbangi pengaruh kuasa ekonomi Asia itu.

Dalam satu perkembangan terbaru, Amerika Syarikat, Australia, Perancis dan Britain akan membuka kedutaan baharu di Pasifik, meningkatkan tahap kakitangan kedutaan, dan bertemu dengan pemimpin-pemimpin negara kepulauan di sana dengan lebih kerap untuk menyaingi pengaruh China yang semakin meningkat.

Persaingan untuk membina pengaruh di negara kepulauan Pasifik menjadi semakin penting kerana setiap negara terbabit mempunyai satu undi di forum antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan mereka juga mengawal kawasan laut yang luas dan kaya sumber.

China telah membelanjakan AS$1.3 bilion dalam bentuk pinjaman dan pemberian sejak 2011 dan kini merupakan penderma kedua terbesar di Pasifik selepas Australia.

Hal ini mencetuskan kebimbangan dalam kalangan negara-negara Barat yang negara-negara kecil Pasifik itu nanti akan menanggung hutang yang besar dari Beijing.

Australia, New Zealand dan AS bakal meningkatkan bantian ekonomi untuk menyaingi tindakan China itu, dan pada masa yang sama melebarkan kehadiran diplomatik mereka di wilayah Pasifik.

“Kami bimbang dengan amalan China yang boleh membawa kepada hutang yang tidak mapan,” kata seorang sumber kerajaan AS yang terlibat dalam rancangan Washington ini.

Menurut pegawai itu lagi, Washington perlukan kehadiran diplomatik yang cukup di negara-negara Pasifik supaya negara terbabit tahu pilihan yang ada pada mereka. – Reuters

Loading...